Khamis, 5 November 2020 | 12:50pm
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli, Hee Loy Sian ketika berucap pada Persidangan Dewan Undangan (DUN) Selangor di SUK Shah Alam. - Foto NSTP/Faiz Anuar

8 syarikat cemar sumber air sudah didakwa sejak 2017

SHAH ALAM: Sebanyak lapan syarikat sudah diambil tindakan undang-undang kerana terbabit mencemarkan Loji Rawatan Air (LRA) di Selangor sejak 2017.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Alam Sekitar & Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian, berkata tindakan berkenaan diambil kerajaan negeri menerusi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri.

"Empat daripada syarikat berkenaan didakwa kerana mencemarkan LRA Sungai Semenyih, manakala empat lagi mencemarkan LRA Sungai Selangor.

"Syarikat berkenaan didakwa mengikut beberapa seksyen, iaitu Seksyen 79 dan Seksyen 121 Enakmen LUAS 1999 serta Seksyen 25 (1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor hari ini.

Beliau berkata sedemikian bagi menjawab pertanyaan Dr Idris Ahmad (PH-Ijok) mengenai inisiatif diambil kerajaan negeri untuk mengkaji teknologi terkini dalam pencegahan awal masalah pencemaran air di negeri ini.

Loy Sian berkata, mengikut data kerajaan negeri, pencemaran yang berlaku pada sumber air negeri bukan berpunca kilang haram sebaliknya sering dilakukan syarikat atau kilang berlesen.

"Selain itu, insiden pencemaran sungai membabitkan henti tugas LRA sukar diambil tindakan undang-undang kerana kebanyakan kes pencemaran terutama pencemaran bau tidak ditemui pelaku dan membabitkan kegiatan vandalisme seperti membuang bahan terlarang ke lurang kumbahan.

"Bagaimanapun, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan pihak terbabit dan akan mengenakan tindakan sewajarnya termasuk merampas tanah lokasi kilang berkenaan," katanya.

Beliau berkata, selain pemantauan di lembangan sungai selama 24 jam dan penggunaan dron untuk mengesan pencemaran, pihaknya juga menggunakan kaedah rawatan, iaitu diatom yang dilihat sesuai dalam menurunkan bahan pencemar dalam sumber air.

Katanya, LUAS juga akan terbabit dalam Jawatankuasa Kajian Pencemaran Bau di Malaysia oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan akan dilaksanakan Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM).

"Skop cadangan kajian akan membabitkan cadangan instrumen pemantauan bau, di samping penetapan had piawaian nilai ambang pencemaran bau di sumber air," katanya.

Berita Harian X