Rabu, 4 November 2020 | 7:26pm

COVID-19: 6 kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Enam kluster baharu COVID-19 dilaporkan, setakat tengah hari tadi, yang telah menjangkiti 108 individu di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata tiga daripadanya dikesan di Sabah, iaitu Kluster Penjara Sandakan, Kluster Dialisis dan Kluster Sepanggar.

Katanya, Kluster Aero pula dilaporkan di Petaling, manakala Kluster Lengkuk di Sepang, Selangor, dan Seremban, Port Dickson serta Rembau di Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Kluster Gading dikesan di Putrajaya dan Seremban.

"Kluster Penjara Sandakan membabitkan sebuah penjara di Sandakan. Kes indeks kluster ini dikenal pasti positif hasil saringan banduan pada 27 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat telah mengesan 38 lagi kes positif. Saringan telah dijalankan terhadap 293 individu, termasuk 254 masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Menjelaskan lanjut, Dr Noor Hisham berkata, Kluster Dialisis dikesan di Sandakan dan Lahad Datu, dengan tiga kes indeks dikenal pasti positif hasil saringan petugas kesihatan pada 23 Oktober lalu.

Katanya, saringan kontak rapat berjaya mengesan 16 lagi kes positif dan semua individu terbabit sudah dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

Beliau berkata, setakat tengah hari tadi, 49 individu sudah disaring dalam kluster itu, termasuk 30 masih menunggu keputusan ujian.

Kes indeks Kluster Sepanggar di Kota Kinabalu pula dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 24 Oktober lalu, dan telah dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah, Institut Kemahiran MARA (IKM) di Sepanggar.

"Saringan kontak rapat dalam kluster itu berjaya mengesan tujuh lagi kes positif.

"Seramai 95 individu sudah disaring membabitkan lapan kes positif, 86 negatif dan seorang masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes indeks Kluster Aero dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat, semalam, dan sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, saringan kontak rapat seterusnya mengesan 10 lagi kes positif dan 84 negatif.

"Kes indeks Kluster Lengkuk dikenal pasti positif hasil saringan individu bergejala pada 28 Oktober lalu, dan sudah dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengesan 23 lagi kes positif yang sudah dimasukkan ke Hospital Tuanku Ja'afar, Hospital Rembau dan Hospital Tampin.

"Kluster Gading pula membabitkan kes indeks yang dikenal pasti positif hasil saringan kontak rapat, 29 Oktober lalu.

"Saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif, semuanya dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh. Lapan individu dikesan negatif, manakala 17 masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, Kluster Embun di Selangor dan Bah Tanjung di Terengganu diisytiharkan tamat, hari ini.

Beliau berkata, seramai 247 orang telah disaring dalam Kluster Embun dengan tujuh dikesan positif (2.83 peratus).

Bagi Kluster Ban Tanjung pula, katanya, 230 orang telah disaring dengan lapan dikesan positif (3.48 peratus).

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar hiasan
    Gambar hiasan
    Berita Harian X