Selasa, 3 November 2020 | 6:44pm

COVID-19: 12 kes kematian hari ini

PUTRAJAYA: Kes kematian akibat pandemik COVID-19 hari ini meningkat kepada 12 kes, sekali gus menjadikan ia jumlah tertinggi pernah dilaporkan sejak penularan virus itu di negara ini.

Sebelum ini, jumlah tertinggi kes kematian COVID-19 yang pernah dilaporkan ialah pada 23 Oktober lalu iaitu 10 kes kematian.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes kematian berkenaan dilaporkan di beberapa daerah di Sabah dan menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 263 kes bersamaan 0.8 peratus daripada keseluruhan kes jangkitan virus berkenaan.

Katanya, lapan kes dilaporkan di Hospital Queen Of Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah manakala dua kes kematian dilaporkan di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan dan masing-masing satu kes di Hospital Kudat dan Hopital Tawau.

"Seorang daripada kes kematian yang dilaporkan hari ini, iaitu kes ke-255 adalah remaja berusia 14 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan mempunyai sejarah penyakit tibi meningitis dan hidrosefalus (pengumpulan cecair otak (Cerebro Spinal Fluid) yang berlebihan)," katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, tujuh lagi kes kematian yang dilaporkan di Hospital Queen of Elizabeth membabitkan kes kematian ke-252, 254, 259 hingga 263.

"Kes kematian ke-252 membabitkan lelaki berusia 64 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung. Manakala kes ke-254 ialah wanita berusia 44 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi.

"Bagi kes kematian ke-259, ialah lelaki berusia 80 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi, strok dan jantung. Kes ke-260 dan ke-261 kedua-duanya ialah wanita berusia 80 dan 70 tahun dan tidak mempunyai penyakit.

"Selain itu, kes kematian ke-262 ialah wanita berusia 47 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan psoriasis serta kematian ke-263 ialah lelaki berusia 56 tahun dan mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi, dislipidemia dan dan penyakit jantung," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata dua kes kematian di Hospital Duchess of Kent membabitkan kes ke-256 dan 257.

"Kes ke-256 ialah wanita berusia 61 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi, manakala kes ke-257 ialah lelaki berusia 25 tahun dan tidak mempunyai penyakit.

"Bagi kes kematian di Hospital Kudat membabitkan kes ke-253 iaitu wanita berusia 58 tahun yang mempunyai penyakit kencing manis dan asma. Kes kematian di Hospital Tawau pula ialah kes ke-258 iaitu lelaki berusia 82 tahun dan tidak mempunyai penyakit," katanya.

Dalam pada itu, mengenai kes baharu hari ini, Dr Noor Hisham berkata, ia kembali empat angka iaitu 1,054 kes dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 34,393 kes dengan jumlah kes aktif iaitu 10,135 kes.

Daripada jumlah itu 64.3 peratus atau 678 kes disumbangkan dari Sabah manakala 310 kes (29.4 peratus) pula dikesan dalam kluster penjara dan Pusat Tahanan Sementara (PTS).

"Negeri dalam Lembah Klang pula mencatatkan 150 kes (14.2 peratus) daripada jumlah keseluruhan kes, manakala, Labuan mencatatkan 81 (7.7 peratus) kes positif pada hari ini.

"Secara keseluruhan kesemua negeri berkenaan menyumbang sebanyak 909 kes (86.2 peratus). Pertambahan jumlah kes baharu itu berikutan lebih banyak saringan yang dijalankan di negeri terbabit yang masih berada dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Sebanyak 14 kes yang dilaporkan hari ini membabitkan kes import yang mendapat jangkitan dari Korea iaitu empat kes, masing-masing dua kes dari Jepun dan Filipina dan satu kes dari Uzbekistan, China, Hong Kong, Nepal, United Kingdom dan Republik Maldives," katanya.

Sementara itu, mengenai kes sembuh hari ini, Dr Noor Hisham berkata, sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 875 kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 23,995 kes bersamaan 69.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto Mohd Fadli Hamzah
    Berita Harian X