Selasa, 3 November 2020 | 6:15pm

Kebenaran buka masjid, tambah jemaah bawah kuasa negeri

KUALA LUMPUR: Perkara berkaitan agama termasuk cadangan pembukaan semula masjid atau penambahan jemaah solat sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tertakluk bidang kuasa pihak berkuasa agama di setiap negeri.

Justeru, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata sebarang ketetapan yang ingin dibuat berhubung isu berkenaan perlulah dipersetujui Raja dan Sultan selaku ketua agama Islam di negeri berkenaan.

Beliau menjelaskan, di Wilayah Persekutuan sebagai contoh, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Agong, setelah cadangan itu dipersembahkan pihak berkuasa agama atau oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

"Saya menerima banyak cadangan supaya membuka semula masjid dan menambah jumlah jemaah di WhatsApp, tetapi seperti kita sebutkan ia terletak di bawah bidang kuasa (pihak berkuasa agama) negeri," katanya ketika sidang media hari ini.

Mengulas lanjut, beliau memberi contoh hari ini Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri membentangkan prosedur berkaitan majlis pernikahan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Beliau bentang (SOP) kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) kerana ramai yang mahu bernikah tetapi tertangguh, namun kita tidak boleh umumkan lagi kerana beliau perlu menyembahkan perkara itu kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan kelulusan.

"Insya Allah setiap cadangan berkaitan agama akan kita bawa kepada Menteri Hal Ehwal Agama untuk keperluan lanjut, sebelum ia dibawa kepada pihak berkuasa agama negeri masing-masing," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ahli Jawatankuasa Masjid India Muslim Tengku Kelana di Klang menunaikan solat dengan pematuhan SOP. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
    Ahli Jawatankuasa Masjid India Muslim Tengku Kelana di Klang menunaikan solat dengan pematuhan SOP. - NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
    Berita Harian X