Selasa, 3 November 2020 | 1:11pm
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan sisa buangan terjadual, debu ‘electric arc furnace (EAF)’ yang ditemui di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada 19 Julai lalu. - Foto fail NSTP/ Mohd Yusni Ariffin
Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man menunjukkan sisa buangan terjadual, debu ‘electric arc furnace (EAF)’ yang ditemui di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Iskandar Puteri pada 19 Julai lalu. - Foto fail NSTP/ Mohd Yusni Ariffin

Cemar air, 636 syarikat kena tindakan

KUALA LUMPUR: Sebanyak 636 syarikat diambil tindakan undang-undang selepas didapati terbabit dengan kesalahan pencemaran air, sejak Januari hingga 30 September lalu.

Tekad memerangi jenayah alam sekitar itu turut menyaksikan sebanyak 2,323 syarikat dikenakan tindakan kerana gagal mematuhi peraturan pengurusan buangan terjadual.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, ketika mendedahkan perkara itu berkata tindakan sedemikian diambil selepas pihaknya menjalankan 17,445 pemeriksaan terhadap premis di seluruh negara yang tertakluk dengan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Katanya, pemeriksaan sepanjang tempoh sama turut dijalankan terhadap premis berkaitan berdasarkan 7,872 aduan berhubung isu pencemaran alam sekitar.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 1,280 premis adalah tertakluk kepada peraturan berkaitan kawalan pencemaran air manakala pemeriksaan terhadap 7,389 premis menghasilkan buangan terjadual yang perlu diuruskan mengikut Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005.

"Dalam hal ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengambil 7,402 tindakan tegas mengikut Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 merangkumi 1,159 tindakan undang-undang terhadap 636 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pencemaran air.

"Ini merangkumi 751 kompaun, 380 notis arahan, tujuh premis digantung lesen, sembilan dikenakan penahanan operasi kelengkapan, satu perintah larangan dan 11 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan.

"Sebanyak 5,700 tindakan undang-undang ke atas 2,323 premis yang didapati tidak mematuhi perundangan berkaitan pengurusan buangan terjadual pula merangkumi 4,564 kompaun, notis arahan (1,130), premis digantung lesen (dua) dan empat penyediaan kertas siasatan untuk tindakan pendakwaan," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) mengenai jumlah syarikat yang dikenakan tindakan undang-undang berikutan kesalahan pencemaran sungai sehingga mengakibatkan kerja pembekalan air bersih kepada pengguna terganggu.

Mengemukakan penyelesaian jangka panjang bagi mengelak gangguan bekalan air kepada pengguna, Tuan Ibrahim berkata, kawal selia dan penguatkuasaan yang lebih inovatif, membabitkan semua pihak serta agensi bakal dilaksanakan.

Menerusi pendekatan punitif dan pencegahan, katanya, langkah penyelesaian itu akan dirintis Unit Cegah Jenayah Alam Sekitar (UCJAS) yang mula beroperasi secara pentadbiran pada 1 Oktober lalu.

"Pendekatan pencegahan pula dilaksanakan menerusi program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) sebagai platform pembabitan masyarakat untuk bersama-sama melestarikan sumber air.

"Berdasarkan pelan strategik dan pelestarian, kementerian menyasarkan pembinaan denai sepanjang 1,000 kilometer (km) menjelang 2023 dan 10,000 km pada 2030.

"Kewujudan denai ini bakal menarik kehadiran orang ramai di kawasan berkenaan, sekali gus mengurangkan risiko sungai dan tebing sungai daripada dijadikan tempat pembuangan sisa sama ada pepejal, buangan terjadual, efluen industri dan sebagainya," katanya.

Berteraskan langkah pindaan perundangan, Tuan Ibrahim berkata, hukuman yang digariskan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 bakal ditambah baik.

Susulan itu, katanya, Seksyen 121 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan dicadang untuk ditingkatkan daripada RM100,000 kepada RM10 juta, manakala hukuman penjara ditambah daripada satu tahun kepada 15 tahun atau kedua-duanya sekali.

"Kita juga akan menambah rizab simpanan air terawat antara 15 hingga 20 peratus, dengan meningkatkan kapasiti dan kesediaan air terawat melalui kerja naik taraf loji rawatan air (LRA) sedia ada serta pembinaan LRA baharu.

"Cadangan untuk melaksanakan projek takungan air pinggiran sungai (TAPS) sebagai sumber air alternatif bagi meminimumkan gangguan bekalan air akibat insiden pencemaran dan cuaca kering juga akan dikemukakan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12)," katanya.

Berita Harian X