Selasa, 3 November 2020 | 12:26pm

PPE diguna orang awam bukan sisa buangan klinikal

KUALA LUMPUR: Pakaian perlindungan diri (PPE) yang digunakan orang awam seperti di pasar, kedai runcit dan kedai gunting rambut boleh dilupuskan mengikut pengurusan sisa domestik yang dikendalikan pihak berkuasa tempatan (PBT) kerana ia bukan sisa klinikal atau bahan buangan terjadual.

Sehubungan itu, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata tiada keperluan kerajaan menetapkan peraturan sisa buangan berkenaan diuruskan sama seperti pengurusan sisa klinikal.

"Jika kita tukar pengurusan pelupusan sisa buangan itu secara pengurusan sisa klinikal maka ia akan menyebabkan peningkatan kos dan kekeliruan dalam kalangan orang awam," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN-Machang) yang ingin mengetahui sama ada Kementerian Alam Sekitar dan Air bercadang menguruskan pembuangan PPE domestik sama seperti pengurusan pelupusan sisa klinikal.

Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir
Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man. - Foto NSTP/Luqman Hakim Zubir

Bagaimanapun, Tuan Ibrahim berkata, PPE digunakan kakitangan perubatan bagi pengendalian pesakit COVID-19 dikategorikan sebagai sisa klinikal. Ia akan dikumpulkan dan dilupuskan di loji pelupusan sisa klinikal yang mempunyai teknologi pengawalan pencemaran alam sekitar.

"Adalah menjadi kesalahan di bawah Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 jika seseorang didapati menempatkan, meletakkan atau melupuskan buangan itu di premis yang bukan ditetapkan yang tidak dilesenkan oleh JAS. Jika disabitkan kesalahan boleh dipenjarakan tidak lebih lima tahun dan denda tidak lebih RM500,000," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, sisa klinikal dikelaskan sebagai sisa buangan terjadual yang memerlukan prosedur pengendalian serta pelupusan khas sebagaimana digariskan dalam Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Sisa itu diuruskan melalui perkhidmatan pengurusan sisa klinikal di hospital kerajaan yang dikendalikan di bawah Penswastaan Perkhidmatan Sokongan Hospital (PSH).

Hanya syarikat konsesi yang dilantik kerajaan dan mempunyai lesen berdaftar di bawah Jabatan Alam Sekitar (JAS) boleh melakukan pengoperasian, pengangkutan dan pelupusan sisa klinikal itu.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata, sisa klinikal di negara ini meningkat sebanyak 20 peratus sejak wabak COVID-19 melanda negara.

Gambar hiasan: Sebahagian petugas KKM bersiap sedia memakai PPE untuk membantu penghuni menjalani saringan COVID-19 di kawasan perumahan Plaza Hentian Kajang yang dilaksanakan PKPD. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad
Gambar hiasan: Sebahagian petugas KKM bersiap sedia memakai PPE untuk membantu penghuni menjalani saringan COVID-19 di kawasan perumahan Plaza Hentian Kajang yang dilaksanakan PKPD. - Foto fail NSTP/Aizuddin Saad
Berita Harian X