Isnin, 2 November 2020 | 6:53pm
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian situasi terkini jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Sebanyak 659 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 31,548 kes manakala sebanyak 1000 kes telah sembuh dan tiada kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada sidang media harian situasi terkini jangkitan COVID-19 di Kementerian Kesihatan hari ini. Sebanyak 659 kes baharu positif COVID-19 dilaporkan setakat hari ini, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes yang positif di negara ini sebanyak 31,548 kes manakala sebanyak 1000 kes telah sembuh dan tiada kematian akibat jangkitan itu direkodkan hari ini. - Foto Luqman Hakim Zubir

COVID-19: 5 lagi kluster dikesan

PUTRAJAYA: Lima kluster baharu dikenal pasti antaranya di Negeri Sembilan, Sarawak, Sabah, Kedah dan Putrajaya hasil saringan individu bergejala dan saringan bersasar terhadap komuniti berisiko tinggi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham, berkata Kluster Pusat Tahanan Sementara (PTS) Tawau dikesan di Tawau, Sabah yang sudah menjangkiti 104 individu.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-15,423 dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 5 Oktober lalu. Saringan kontak rapat berjaya mengesan 103 lagi individu positif dan kesemua mereka dimasukkan ke Hospital Tawau untuk rawatan lanjut.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 1,671 individu disaring dan daripada jumlah berkenaan 1,567 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, satu kluster dikesan membabitkan sub zon Batu Arang di Labuan iaitu Kluster Tenaga dan sudah jangkiti 57 individu.

"Kes-kes bagi kluster ini dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan bersasar terhadap komuniti berisiko tinggi hari ini dan mereka dimasukkan ke Hospital Labuan untuk tindakan lanjut. Sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 103 individu disaring dan 46 individu masih menunggu keputusan.

"Kluster ketiga dikesan di beberapa negeri antaranya Seremban, Port Dickson dan Rembau di Negeri Sembilan, daerah Petaling di Selangor, Johor Bahru dan Putrajaya.

"Kluster berkenaan dinamakan sebagai Kluster Gedong dan kini sudah menjangkiti 12 individu. Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-29,341 dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 27 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Rembau.

"Saringan dilakukan terhadap 61 individu, dan daripada jumlah berkenaan 12 individu dikesan positif, 19 individu negatif dan 30 lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Wisma Saberkas pula dikesan di Kuching, Sarawak membabitkan kes indeks iaitu kes ke-30,813 yang dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 30 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Sehingga 12 tengah hari ini, seramai 130 individu sudah disaring dan daripada jumlah berkenaan lapan kes dikesan positif COVID-19, 10 individu dikesan negatif dan 112 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Manakala kluster terakhir yang dikesan hari ini (semalam) ialah Kluster Seridana di Putrajaya apabila kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-32,505 dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 31 Oktober lalu," katanya.

Dr Noor Hisham berkata sehingga jam 12 tengah hari semalam, seramai 31 individu sudah disaring dalam Kluster Seridana dan mengesan lima individu sah positif COVID-19 serta 26 individu lagi masih menunggu keputusan.

Dr Noor Hisham berkata, satu kluster sudah tamat pemantauan iaitu Kluster Sungai di Kedah dan

Perlis, membabitkan 102 kes, selepas tidak lagi mencatatkan pertambahan kes sejak 28 hari lalu.

"Kadar positiviti bagi kluster ini adalah 0.40 peratus dan terdapat satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan," katanya

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pihak yang membuat pelbagai dakwaan bahawa peralatan kesihatan termasuk peralatan perlindungan peribadi (PPE) tidak mencukupi di Sabah, berkemungkinan tidak pernah turun ke lapangan kerana KKM sememangnya memantau keadaan di lapangan termasuk kelengkapan dan katil yang diperlukan untuk pesakit.

Justeru, Dr Noor Hisham menafikan dakwaan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mendakwa situasi di Sabah semakin kritikal, kerana kapasiti sistem kesihatan masih mampu menampung keperluan.

"Cabaran KKM sewaktu gelombang ketiga lebih tinggi tetapi kesiapsagaan kita juga lebih baik jika dibandingkan pada Mac dan April lalu.

"Contohnya pelbagai dakwaan seperti kekurangan katil... jika kita lihat hari ini kes discaj di Sabah juga meningkat. Malah, sebelum pilihan raya negeri (PRN) Sabah warga kerja KKM sudah digerakkan ke negeri itu.

"Kita juga meluluskan perolehan darurat sebanyak RM25 juta dengan RM18 juta untuk PPE sahaja malah PPE dan peralatan sudah dihantar ke Sabah," katanya.

Beliau berkata, baki sejumlah RM7 juta lagi diagih kepada hospital dan pejabat kesihatan daerah.

Katanya, KKM masih memantau perkembangan dan stok kelengkapan untuk PPE di Sabah, yang dianggar boleh bertahan 29 hingga 97 hari lagi.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X