Isnin, 2 November 2020 | 5:33pm

PKPD di 2 lokaliti di Kota Kinabalu dilanjutkan

KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di dua lokaliti dekat Kampung Matambai, Kota Kinabalu, Sabah dilanjutkan sehingga 16 November depan.

Lokaliti itu adalah Penjara Kepayan dan Kuarters Penjara Taman Mat Salleh, Kampung Matambai yang sebelum ini dikenakan PKPD sejak 20 Oktober lalu, namun dijadualkan berakhir hari ini.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata jumlah kes positif COVID-19 di kedua-dua lokaliti itu sehingga semalam adalah 1,671 kes.

"Bilangan mereka yang disaring ialah seramai 3,509 orang termasuk banduan, pegawai, kakitangan dan ahli keluarga.

"Atas nasihat Kementerian Kesihatan (KKM), sidang khas hari ini bersetuju untuk melanjutkan PKPD di kedua-dua lokaliti ini selama 14 hari, bermula esok hingga 16 November ini," katanya, hari ini.

Berita Harian X