Khamis, 29 Oktober 2020 | 10:10pm

Sektor pertanian Sabah beroperasi kapasiti penuh

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri hari ini membenarkan sektor pertanian dan perladangan beroperasi semula dengan kapasiti penuh.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu membolehkan semua pekerja dalam sektor berkenaan bekerja semula seperti biasa.

"Bagi memastikan operasi sektor pertanian dan perladangan berjalan lancar, kerajaan negeri membenarkan 100 peratus kapasiti pekerja beberapa aktiviti di bawah sektor pertanian.

"Bagaimanapun, ia tertakluk kepada penyediaan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan jangkitan COVID-19 yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan," katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Sebelum ini, SOP operasi sektor pertanian dan perladangan hanya membenarkan 50 peratus pekerja dalam satu-satu masa sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB).

Sementara itu, Masidi yang juga jurucakap COVID-19 kerajaan negeri, berkata sehingga hari ini sebanyak 102,730 bantuan bakul makanan sudah diagihkan kepada golongan sasar di seluruh negeri.

Mengenai keperluan katil untuk pesakit COVID-19, Masidi berkata sebanyak 622 katil ditambah di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) hari ini menjadikan jumlah keseluruhan katil di seluruh negeri sebanyak 7,859 katil.

"Penambahan ini merangkumi Penjara Tawau (500 katil), PKRC Pusat Kebudayaan Penampang (93 Katil) dan Rumah Rehat Kudat (29 katil)," katanya.

Berita Harian X