Khamis, 29 Oktober 2020 | 4:49pm
Anggota tentera menjalankan rondaan dalam Op Benteng bagi mengesan PATI yang menceroboh sempadan Sarawak. - Foto Ihsan Markas ATM
Anggota tentera menjalankan rondaan dalam Op Benteng bagi mengesan PATI yang menceroboh sempadan Sarawak. - Foto Ihsan Markas ATM

Op Benteng: Tahan 14 PATI, bot dirampas

KUALA LUMPUR: Sempadan negara baik darat atau perairan akan terus dikawal ketat melalui Op Benteng bagi mengekang sebarang penyusupan haram khususnya membabitkan pendatang asing tanpa izin (PATI).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata selain mengekang jenayah rentas sempadan, tumpuan pemantauan dan penguatkuasaan juga untuk mengekang penularan wabak COVID-19.

Mengulas Op Benteng digerakkan, katanya seramai 14 lagi PATI ditahan menerusi operasi yang dijalankan bagi memastikan keselamatan sempadan di seluruh negara itu, semalam.

"Melalui ops sama, pihak berkuasa turut merampas sebuah bot dan enam kenderaan," katanya.

Op Benteng dikoordinasi bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta beberapa agensi lain.

Beliau berkata, dalam mengawasi sempadan agensi penguatkuasaan akan terus mengetatkan kawalan secara bersepadu terutama di lorong tikus.

"Selain kawalan sempadan, sekatan jalan raya (SJR) oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) turut memainkan peranan dalam mengawal situasi itu.

"Semalam, sebanyak 291 SJR dilakukan melalui Op Benteng dengan 217 oleh PDRM, 66 oleh ATM dasn enam lagi oleh AKSEM.

Semalam, Ismail Sabri dilaporkan berkata kerajaan kini memfokuskan untuk mengambil tindakan mengusir berbanding membuat tangkapan ke atas PATI yang cuba membolosi sempadan negara menerusi Op Benteng.

Tindakan itu, katanya berjaya mengurangkan jumlah tangkapan sekali gus mengurangkan beban kerajaan untuk menanggung kos tinggi bagi menjaga mereka ketika dalam tahanan.

Berita Harian X