Khamis, 29 Oktober 2020 | 11:21am
 Foto dirakamkan pada 5 Oktober 2020 menunjukkan keadaan air Sungai Batang Benar yang berbau disyaki punca pencemaran bau di Sungai Semenyih. - Foto fail NSTP
Foto dirakamkan pada 5 Oktober 2020 menunjukkan keadaan air Sungai Batang Benar yang berbau disyaki punca pencemaran bau di Sungai Semenyih. - Foto fail NSTP

Sebatian organik Dimethyl Disulfide cemar Sungai Batang Benar - EXCO

SEREMBAN: Keputusan awal analisis sampel yang diambil dari lokasi punca pencemaran Sungai Batang Benar, Nilai, mendapati ia adalah sebatian organik jenis 'Dimethyl Disulfide'.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan, S Veerapan, berkata keputusan itu diperoleh Sabtu lalu hasil analisis ke atas lima sampel tanah yang diambil di sekitar belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

"Dimethyl Disulfide adalah satu sebatian organik yang biasanya digunakan sebagai bahan tambahan dalam industri makanan dan juga digunakan sebagai bahan pemangkin dalam industri petrokimia.

"Walaupun maklumat diperoleh daripada siasatan yang dijalankan ke atas suspek dan beberapa lagi pihak yang berkaitan, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan masih meneliti semua fakta kes yang diperoleh sepanjang siasatan sebelum rumusan dapat dibuat," katanya ketika dihubungi Bernama di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas perkembangan terkini kes berkenaan yang mengakibatkan dua loji rawatan air iaitu di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi di Selangor dihenti tugas.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik tersisa ditemukan di belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran di Sungai Batang Benar.

Susulan itu, tiga lelaki berumur 30-an hingga 40-an ditahan di Kota Bharu, Kelantan dengan dua daripadanya ditahan pada 6 Oktober dan 12 Oktober lalu bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan.

Berikutan pencemaran itu, ia menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang. – BERNAMA

Berita Harian X