Selasa, 27 Oktober 2020 | 6:18pm

COVID-19: 835 kes baharu

PUTRAJAYA: Sebanyak 835 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini dan daripada jumlah berkenaan 517 kes atau 55.8 peratus direkodkan di Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes di negara ini sebanyak 28,640 kes dengan jumlah kebolehjangkitan iaitu 9,903 kes.

Katanya, Sabah mencatatkan penurunan sebanyak 410 kes hari ini berbanding semalam yang dicatatkan di Sabah ialah sebanyak 927 kes.

"Walaupun terdapat penurunan jumlah kes pada hari ini, Kementerian Kesihatan (KKM) masih terus giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di seluruh Sabah.

"Di Lembah Klang mencatatkan 138 kes iaitu 16.5 peratus dari jumlah keseluruhan kes. Daripada 138 kes baharu ini, 65 kes (47.1 peratus) adalah daripada kluster-kluster sedia ada dan baharu," katanya dalam sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes COVID-19 di Sabah dan kluster di dalam penjara mula menunjukkan penurunan jumlah kes harian COVID-19 berbanding ketika gelombang ketiga penularan wabak berkenaan.

Beliau berkata, Sabah hari ini mencatatkan 410 kes positif COVID-19 iaitu penurunan sebanyak 517 kes berbanding semalam (927 kes).

Katanya, bagi kluster di dalam penjara pula hanya 23 kes baharu dicatatkan hari ini yang secara langsung terdapat penurunan 485 kes atau 95.5 peratus berbanding semalam.

"Walaupun Sabah menunjukkan penurunan kes har ini, kita masih giat menjalankan aktiviti saringan dan pengesanan kes secara aktif di negeri berkenaan. Ini kerana di Sabah masih ada 44 kluster yang aktif dan peningkatan kes harian tempatan masih boleh berlaku.

"Penurunan jumlah kes di dalam penjara pula adalah hasil menjalankan kawalan dan pencegahan serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bagi penjara dan kuarters yang terbabit bagi mengelak berlaku sebarang penularan ke komuniti," katanya.

"Untuk makluman, negeri di Lembah Klang dan Sabah diletakkan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Manakala lima kes lagi adalah daripada kes import yang mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dua kes di India dan masing-masing satu kes dari Indonesia, Thailand dan Bulgaria.

"Sehingga kini, seramai 89 kes positif COVID-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU), dan daripada jumlah berkenaan seramai 32 kes masihmemerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Memperincikan kes hari ini, Dr Noor Hisham berkata selain Sabah, kes baharu turut disumbangkan oleh Negeri Sembilan (155 kes); Selangor (125); Wilayah Persekutuan Labuan (74); Sarawak (16); Pulau Pinang (13);Perak (11); Kuala Lumpur (9); Johor (8); Kedah dan Terengganu masing-masing empat kes dan Putrajaya satu kes.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, bagi jumlah kes sembuh, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 674 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kes sembuh di negara ini sebanyak 18,499 kes bersamaan 64.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Beliau turut memaklumkan, terdapat dua kes kematian di Hospital Tawau hari ini yang menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian disebabkan oleh COVID-19 di negara ini sebanyak 238 kes atau 0.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kematian ke-237 membabitkan kes ke-27,478 iaitu lelaki berusia 82 tahun dan mempunyai penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD),

buah pinggang kronik dan aritmia jantung (AF) manakala kematian ke-238 membabitkan kes ke-28,215 iaitu wanita berusia 53 tahun," katanya

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X