Isnin, 26 Oktober 2020 | 6:34pm

Kes baharu COVID-19 melonjak kepada 1,240, tertinggi setakat ini

PUTRAJAYA: Jumlah kes baharu COVID-19 di negara ini melonjak kembali kepada empat angka dengan 1,240 kes dilaporkan hari ini, sekali gus menjadikan kes harian tertinggi direkodkan sejak penularan wabak berkenaan.

Jumlah tertinggi pernah direkodkan di Malaysia ialah pada 24 Oktober lalu iaitu 1,228 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 27,805 kes dengan kebolehjangkitan iaitu 9,744 kes.

Katanya, Sabah kekal mencatatkan jumlah kes tertinggi harian iaitu sebanyak 927 kes atau 74.8 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Selain Sabah, negeri di bawah Lembah Klang turut menyumbangkan 194 kes atau 15.6 peratus daripada jumlah keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini.

"Sabah dan negeri di Lembah Klang kini diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Manakala 508 kes (41 peratus) pada hari ini adalah daripada kluster di dalam penjara, antaranya Kluster Penjara Kepayan (439 kes), Kluster Seberang Perai (57 kes), Kluster Benteng LD (7kes), Kluster Penjara Tapah (4 kes) dan Kluster Tembok (1 kes).

"Kes-kes ini sememangnya terasing di dalam kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD)," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat 691 kes sembuh dilaporkan, menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 17,825 kes bersamaan 64.1 peratus.

Kes sembuh berkenaan dilaporkan di Sabah iaitu 517 kes, diikuti Selangor (107 kes), Wilayah Persekutuan Labuan (30 kes), Pulau Pinang (20kes,) masing-masing empat kes di Negeri Sembilan dan Sarawak serta tiga kes masing-masing di Melaka, Perak dan Johor.

Sementara itu, bagi kes kematian Dr Noor Hisham ,berkata terdapat tujuh kes kematian disebabkan oleh COVID-19 dilaporkan di Sabah membabitkan pesakit berusia antara 27 hingga 90 tahun.

Beliau berkata, pertambahan kes kematian itu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 236 kes atau 0.9 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Kes kematian ke-230 membabitkan kes ke-14, 925 iaitu lelaki berusia 67 tahun dan mempunyai penyakit Sinusitis dan disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess Of Kent, Sandakan.

"Kes kematian ke-231 pula ialah kes ke-15,854 iaitu lelaki berusia 71 tahun serta mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan penyakit jantung sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

"Turut meninggal dunia di hospital yang sama ialah kes kematian ke-232 iaitu wanita berusia 51 tahun serta mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-233 ialah lelaki berusia 61 tahun iaitu orang kurang upaya (OKU) penglihatan dan meninggal dunia di Hospital Tuaran.

"Kes kematian ke-234 membabitkan lelaki berusia 50 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi, buah pinggang kronik serta penyakit jantung sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

"Kes kematian ke-235 ialah wanita berusia 90 tahun dan tidak mempunyai penyakit serta meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent.

"Manakala kematian ke-236 ialah lelaki berusia 27 tahun, tidak mempunyai penyakit dan meninggal dunia di Hospital Tawau," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X