Ahad, 25 Oktober 2020 | 6:43pm

COVID-19: 8 kes kematian hari ini

PUTRAJAYA: Sebanyak lapan kes kematian akibat jangkitan COVID-19 dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat virus itu setakat ini adalah 229 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata semua kes kematian berkenaan membabitkan warga tempatan di Sabah.

Beliau memaklumkan, kes kematian ke-222 membabitkan pesakit bagi kes ke-12,863, iaitu seorang lelaki berusia 77 tahun yang meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan, manakala kes kematian ke-223 ialah pesakit bagi kes ke-15,329, juga seorang lelaki berusia 59 tahun yang meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

"Kes kematian ke-224 membabitkan pesakit kes ke-14,023, iaitu seorang wanita berusia 70 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis. Beliau meninggal di Hospital Lahad Datu.

"Kes kematian ke-225 pula membabitkan pesakit bagi kes-22,032 iaitu lelaki berusia 58 tahun yang mempunyai sejarah penyakit kencing manis, darah tinggi dan dislipidemia. Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth," katanya dalam satu kenyataan mengenai situasi semasa jangkitan COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kes kematian ke-226 pula ialah pesakit bagi kes ke-24,224, membabitkan seorang lelaki berusia 34 tahun yang menghidap obesiti dan sindrom apnea tidur obstruktif, manakala kes ke-227 ialah pesakit bagi kes ke-26,273, iaitu seorang wanita berusia 74 tahun yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi dan tibi paru-paru, yang mana kedua-duanya meninggal dunia di Hospital Tawau.

"Kes kematian ke-228 ialah pesakit bagi kes ke-26,274, membabitkan seorang lelaki berusia 68 tahun, yang mempunyai sejarah penyakit darah tinggi, dislipidemia dan gout.

"Selain itu, kes kematian ke-229 pula ialah pesakit bagi kes ke-26,275, iaitu seorang wanita berusia 80 tahun. Kedua-dua mereka meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X