Ahad, 25 Oktober 2020 | 2:32pm

'Darurat tak cetus kecelaruan politik'

SEJAK beberapa hari lalu, timbul desas-desus kononnya negara akan diletakkan di bawah perintah darurat, ada juga andaian prorog Parlimen atau sidang Dewan Rakyat akan digantung. Spekulasi semakin kuat apabila Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin memanggil mesyuarat khas Kabinet kelmarin, sebelum menghadap Yang diPertuan Agong. Apa sebenarnya bentuk darurat jika benar ia mahu dilaksanakan dan apa kesannya jika Parlimen digantung.

Wartawan BH, Suzalina Halid dan Ahmad Suhael Adnan, mendapatkan pandangan Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Muhammad Fathi Yusof serta bekas Presiden Senat Parlimen Malaysia, Tan Sri Adam Kadir.

Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) UTM, Dr Muhammad Fathi Yusof. - NSTP/Supian Ahmad
Felo Penyelidik (Undang-Undang dan Perlembagaan) UTM, Dr Muhammad Fathi Yusof. - NSTP/Supian Ahmad

SOALAN (S): Spekulasi timbul kononnya darurat akan diisytihar atau Parlimen digantung, mengambil kira penularan kes baharu COVID-19 ketika ini serta kemelut politik semasa. Apa pandangan Dr?

Jawapan (J): Sebenarnya dalam Perlembagaan, ada ruang untuk isytihar darurat atas sebab ekonomi. Dalam situasi wabak COVID-19 ini, antara yang paling terjejas ialah ekonomi, bukan sahaja ekonomi negara, tetapi juga ekonomi rakyat dan ekonomi rumah tangga. Rakyat terjejas teruk. Puncanya adalah wabak COVID-19 dan kita perlu ingat bahawa cabaran wabak COVID-19 ini adalah satu situasi yang luar biasa atau unprecedented situation dan kita memerlukan langkah yang luar biasa.

Jadi, langkah (isytihar) darurat memang sesuai. Orang ramai tidak perlu khuatir kerana darurat COVID-19 jika dilaksanakan, tiada kaitan dengan kekacauan atau sebagainya. Rakyat perlu kekal tenang, terus patuh prosedur operasi standard (SOP).

Darurat dibuat kerana kerajaan perlu kuasa yang jelas. Bukan mudah nak suruh rakyat tidak keluar rumah, hak bagi menggerakkan jentera polis dan tentera serta mengambil tindakan ke atas mereka yang ingkar. Kita mengejar masa, di antara kecekapan kita bertindak dan kecepatan virus merebak. Keadaan sekarang terhad kepada beberapa sekatan dan halangan birokrasi. Ini yang mahu dirungkaikan.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam resolusi Perhimpunan Agung pada 11 September baru-baru ini, menekankan konsep a whole-of-government response bagi mengatasi COVID-19. Maksudnya keseluruhan jentera kerajaan perlu fokus kepada isu ini, bukan Kementerian Kesihatan (KKM) sahaja. Ini juga pendekatan dalam banyak negara.

Satu badan antarabangsa, iaitu The Centre for Civil and Political Right' (CCPR-Centre) sudah kumpul data. Dalam laman web mereka disebut ada 79 negara isytihar darurat sebagai tindak balas menangani pandemik COVID-19. Ini termasuk Australia, Indonesia, Finland, Brazil, Itali, Sepanyol, Afrika Selatan, Libya, Filipina, Thailand, Argentina dan Jordan. Malaysia belum, sebab kita guna Akta 342, iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

S: Maksudnya dalam situasi semasa, darurat perlu kerana langkah sedia ada tidak cukup?

J: Ya, tidak mencukupi. Sebenarnya kerajaan sudah boleh isytihar darurat waktu kita mula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada Mac lalu. Mungkin ia tidak dibuat kerana waktu itu fokus kepada penyelesaian masalah lebih besar, iaitu memutuskan rantaian jangkitan dan menyediakan infrastruktur kesihatan serta penguatkuasaan undang-undang.

Akta 342 waktu itu digunakan sebab ia punya ruang perundangan untuk pelaksanaan arahan yang perlu pada waktu itu, tetapi ia tidak sesuai untuk jangka panjang. Pertama, akta itu terhad kepada tujuan 'mengawal penyakit', sedangkan usaha mengatasi COVID-19 membabitkan perkara yang lebih luas seperti kebajikan rakyat, penyediaan kemudahan kesihatan, sistem sokongan kepada anggota barisan hadapan, agihan ekonomi, kawalan sempadan, kelancaran pergerakan dan seumpamanya. Semua ini di luar skop Akta 342.

Jadi, kita perlukan asas perundangan yang lebih komprehensif. Akta 342 asalnya untuk tangani isu pengawalan penyakit dalam skala kecil atau biasa seperti dilaksanakan selama ini, antaranya untuk denggi, tibi.

Wabak COVID-19 luar biasa, perlu cara berbeza dan lebih kukuh. Perkara 150 (Perlembagaan Persekutuan), iaitu pengisytiharan darurat memang patut digunakan. Dalam satu kes mahkamah, iaitu Stephen Kalong Ningkan lawan Kerajaan Malaysia, mahkamah tertinggi waktu itu, iaitu Majlis Privi buat keputusan bahawa Perkara 150 membolehkan darurat diisytiharkan dalam skop situasi yang luas, termasuk perkara seperti perang, kebuluran, gempa bumi, banjir dan jangkitan penyakit.

S: Jadi, pengisytiharan darurat bukan sesuatu yang ganjil?

J: Ia bukan sesuatu yang ganjil, tambahan pula Akta 342 meletakkan semua kuasa pada Menteri Kesihatan, seolah-olah tugas atasi COVID-19 ini hanya atas bahu Menteri Kesihatan. Semua agensi lain, termasuk Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendapat kuasa melalui Menteri Kesihatan. Ini pelik dan janggal. Dalam MKN, ada Perdana Menteri dan menteri.

Arahan berkaitan SOP dan lain-lain datang daripada Perdana Menteri atau Menteri Kanan (Keselamatan). Jadi, kalau ikut amalan sekarang, semua arahan dibuat mengikut Akta 342 adalah berpunca daripada Menteri Kesihatan dan 'diturunkan' kepada Perdana Menteri atau Menteri Kanan. Ini memang janggal. Sebagai langkah sementara kita boleh terima, tapi tidak boleh berterusan begini. Darurat adalah jalan keluar terbaik.

S: Ada juga ura-ura bahawa prorog Parlimen atau Dewan Rakyat akan digantung?

J: Isu ini juga penting. Kita semua tahu bahawa Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah antara faktor menyumbang kepada lonjakan kes COVID-19 di Sabah. Keadaan di Sabah amat dahsyat dan menyedihkan. Jadi, kerajaan perlu bertindak segera. Jika diikutkan, selepas ini perlu ada pula Pilihan Raya Kecil (PRK) Batu Sapi. Selepas itu, Sarawak pula perlu adakan PRN. Memang masih ada beberapa bulan, tapi pembubaran DUN boleh dibuat bila-bila masa sahaja.

Selepas itu, berlaku pula pergolakan politik. Ada (pemimpin politik) dakwa cukup sokongan (untuk bentuk kerajaan), tapi buat masa ini belum ada bukti yang konkrit, cuma ada nombor.

Rakyat cemas kerana dengan situasi ini, ada kemungkinan berlaku Parlimen tergantung atau hung Parliament. Apa maksud hung Parliament? Ia berlaku contohnya bila Perdana Menteri kini hilang sokongan dan hanya tinggal sebanyak 108 sokongan dan Datuk Seri Anwar Ibrahim hanya mendapat 93 sokongan, manakala baki 21 orang (Ahli Parlimen) memilih untuk berkecuali atau menyokong tokoh lain.

Jika berlaku begini, memang perlu diadakan Pilihan Raya Umum (PRU). Ini yang rakyat risaukan. Jadi apa jaminan PRU dapat dielakkan dalam tempoh wabak COVID-19? Tidak ada jaminan. Mungkin kerana pertimbangan ini, maka darurat dianggap sebagai jalan keluar.

Saya percaya dalam konteks ini, darurat bukannya membawa kecelaruan politik, tetapi dapat mengekalkan kestabilan politik supaya tidak digugat selama mana kita belum menang dalam menangani COVID-19. Cuma dalam hal ini, saya cadangkan supaya penentuan, sama ada perlu gantung Parlimen, tangguhkan pilihan raya, tidak diberikan kepada orang politik.

Saya cadangkan satu majlis penilai di bawah Yang di-Pertuan Agong yang diwujudkan melalui Ordinan Darurat, dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara dan disertai Yang Dipertua Dewan Rak- yat dan Dewan Negara, Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Ketua Polis Negara dan Peguam Negara untuk menentukan sama ada Parlimen dan pilihan raya perlu digantung atau tidak. Biar keputusan bebas pengaruh politik.

Istana Negara. - Foto NSTP
Istana Negara. - Foto NSTP

S: Apa akan berlaku kepada pentadbiran kerajaan jika darurat atau Parlimen digantung?

J: Ada juga anggap Proklamasi Darurat COVID-19 akan menyebabkan negara berada di bawah pemerintahan Majlis Gerakan Negara (MAGERAN) seperti selepas peristiwa 13 Mei 1969. Persepsi ini juga menambah ketakutan kepada Proklamasi Darurat COVID-19. Istilah MAGERAN atau seumpamanya tidak wujud dalam Perkara 150. Ia ditubuhkan bagi membantu pengarah Gerakan Negara yang diberi kuasa oleh Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan kuasa perlu dalam tempoh darurat.

Apa perlunya MAGERAN hari ini sedangkan kita sudah ada MKN? MKN ditubuhkan pada Julai 1971 selepas MAGERAN dibubar pada tahun sama. MKN diberi peranan menjalankan kuasa diperuntukkan di bawah Ordinan Darurat dan perintah di bawahnya.

Pada 1979, fungsi dan punca kuasa MKN kemudian dikemas kini melalui Arahan MKN No 1 bersandarkan Akta Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 1979. Kedudukan ini berkekalan sehingga darurat ditamatkan secara rasmi dan akta ini dimansuhkan pada 21 Jun 2012.

Hari ini, MKN melaksanakan kuasanya secara lebih jelas dan tersusun melalui akta khusus, iaitu Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 (Akta 776). Mungkin ramai tak sedar bahawa darurat diisytiharkan pada 1969 berkuat kuasa secara rasmi dalam tempoh 43 tahun sehingga ia ditamatkan secara rasmi pada 2012.

Dalam tempoh itu, beberapa ordinan darurat dikekal dan digunakan kerajaan dalam pendakwaan dan pentadbiran. Hakikat ini membuktikan bahawa kedudukan negara dalam keadaan darurat bukan satu masalah sehingga boleh menghakis amalan demokrasi dan perlindungan hak asasi rakyat.

Oleh demikian, Proklamasi Darurat COVID-19 tidak perlu jadi polemik atau ketakutan kepada rak- yat Malaysia. Jika berlaku penggantungan Parlimen, ia tidak menjejaskan perjalanan biasa perkhidmatan kerajaan. Badan legislatif dan badan eksekutif adalah berasingan.

Cuma dalam hal ini, saya lebih cenderung untuk mengekalkan aspek 'semak dan imbang' dalam negara. Maksudnya, jangan matikan fungsi Parlimen. Kekalkan tetapi melalui mekanisme yang sesuai berdasarkan situasi wabak. Jika selamat berkumpul, adakan sidang (Dewan Rakyat) seperti biasa, tetapi jika kurang selamat, boleh laksanakan sidang dengan cara lain seperti secara maya. Dalam keadaan biasa, memang undang-undang tak benarkan sidang dalam talian, tapi jika diisytihar darurat, undang-undang tidak jadi penghalang kerana ia boleh dilaksanakan melalui Ordinan Darurat.

S: Bagaimana pula dengan hal Belanjawan?

J: Mulakan dengan proses biasa dahulu , bentang di Dewan Rakyat dan Dewan Negara, benarkan Ahli Parlimen berbahas. Itu tanggungjawab mereka. Suara Ahli Parlimen, sama ada dari pihak kerajaan atau pembangkang amat penting untuk menambah baik dasar dan keputusan kerajaan. Jika Belanjawan tidak melepasi undian pada sidang Parlimen, barulah guna Ordinan Darurat.

Kita tidak mahu kerajaan yang memerintah dalam tempoh ini terlepas proses 'semak dan imbang'. Waktu darurat 1969 dulu, kerajaan pernah meluluskan Belanjawan melalui ordinan darurat iaitu Ordinan (Kuasa-kuasa Perlu) Darurat 1969 No 3 (PU (A) 170/1969.

Ordinan ini untuk Belanjawan 1970. Jadi ia pernah dilaksanakan. Belanjawan ini perkara asas, kerajaan perlu ada kelulusan yang sah untuk berbelanja. Kalau Belanjawan tidak diluluskan, bermakna kerajaan tidak dapat beroperasi secara sah bermula 1 Januari 2021. Ia dipanggil government shutdown, sesuatu yang dahsyat dan tak dapat dibayangkan jika berlaku di Malaysia.

S: Apa pula kesan darurat atau prorog Parlimen kepada negara dan rakyat?

J: Dari sudut pengurusan mengendalikan COVID-19, darurat ini hanyalah satu mekanisme pentadbiran yang lebih jelas dari sudut undang-undang Perlembagaan, bukan satu bentuk pendekatan baharu yang mengubah strategi kerajaan menghadapi wabak.

Darurat menjadikan tindakan kerajaan dapat dilaksana menggunakan saluran perundangan lebih kukuh dan skop kuasa lebih luas berbanding mekanisme sedia ada, iaitu Akta 342. Apabila jentera kerajaan semakin cekap, proses pengawalan penyakit dan langkah-langkah sokongan akan berjalan lebih baik.

Namun, pada masa sama, rakyat tetap perlu bebas memberi pandangan dan kritikan membina. Pembangkang perlu diberi ruang untuk memberi pandangan berbeza. Ruang yang wajar perlu diberikan selagi tidak menjejaskan usaha menangani COVID-19.

Rakyat perlu sentiasa peka supaya darurat tidak disalah guna untuk politik peribadi dan kepartian. Kita harap ahli politik mengutamakan kesejahteraan rakyat berbanding kepentingan politik. Tidak kira pihak mana, kerajaan atau pembangkang, semua perlu ketepikan sementara persaingan politik dan fokus kepada usaha mengatasi COVID-19.

Kita berdoa moga Allah segera melepaskan negara kita dan dunia daripada ujian berat wabak luar biasa ini. Insya-Allah, jika semua bersatu hati dan mengambil sikap bertenang serta berwaspada, kita dapat memenangi peperangan ini.

Mungkin juga juga ramai tidak sedar, tanpa pengisytiharan darurat di bawah Perkara 150 pun, kita sebenarnya terpaksa berkurung. Jika tiada PKP sekali pun, ramai pilih berkurung di rumah, keluar jika perlu sahaja. Sebenarnya, tidak ada apa perlu ditakutkan. Jika diisytiharkan darurat, arahan dan peraturan seperti PKP dapat diselaraskan melalui kuasa darurat. Ia jauh berbeza dengan peristiwa 13 Mei yang membabitkan rusuhan kaum. Ancaman kita adalah COVID-19.

Musuh kita tidak nampak. Pasukan barisan hadapan adalah petugas kesihatan, tapi semua rakyat sebenarnya berperanan besar untuk putuskan rantaian jangkitan. Ini peperangan hari ini. Jadi tidak perlulah dibayangkan jika darurat, tentera dan polis akan meronda sana sini dan sekatan jalan di mana-mana. Penguatkuasaan pergerakan akan dibuat ikut keperluan, seperti sekarang.

Agong ada kuasa tolak bubar Parlimen

Bekas Presiden Senat Parlimen Malaysia, Tan Sri Adam Kadir. - NSTP/Hairul Anuar Rahim
Bekas Presiden Senat Parlimen Malaysia, Tan Sri Adam Kadir. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

S: Polemik tercetus mengenai kemungkinan pengisytiharan darurat atau prorog Parlimen. Apa pandangan Tan Sri?

J: Pelaksanaan prorog Parlimen, iaitu penggantungan atau pemberhentian sidang Dewan Rakyat atau pengisytiharan darurat boleh dilaksanakan bila-bila masa yang dirasakan perlu berdasarkan persetujuan dan kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong. Hakikatnya ketika ini, soal politik nampaknya sudah mengatasi perkara lain dan jadi semakin rumit berdasarkan jumlah majoriti tipis dimiliki kerajaan.

Kekhuatiran ketika ini ialah kemungkinan terpaksa diadakan PRU dalam keadaan COVID-19 sedang melonjak tinggi. Namun, perlu ingat bahawa Perkara 40(2)(b) Perlembagaan Persekutuan memberi kuasa kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tolak permintaan Perdana Menteri membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU.

S: Apa kesan darurat atau prorog Parlimen, khususnya kepada kestabilan politik dan kawalan COVID-19?

J: Di mana-mana negara sekali pun, situasi politik berdetik atas pro dan kontra. Walaupun ketika tiada COVID-19, politik tetap bergolak. Jika darurat diisytiharkan, ekonomi tidak akan stabil. Menguruskan ekonomi dalam situasi darurat akan mewujudkan cabaran, apatah lagi perlu menguruskan COVID-19 serta pergolakan politik semasa. Isu membabitkan ekonomi dan politik adalah masalah yang kerap wujud secara berkesinambungan. Yang di-Pertuan Agong seyogia (selayaknya) mengimbangi antara tuntutan politik dengan tuntutan ekonomi dan COVID-19.

S: Berdasarkan situasi politik semasa dan jumlah kes baharu COVID-19, adakah darurat atau prorog Parlimen wajar ketika ini?

J: Ketika ini, COVID-19 juga sedang dihadapi dengan hebat oleh Amerika Syarikat (AS) dan United Kingdom (UK), dua negara yang mengilhamkan sistem pemerintahan dan Perlembagaan Malaysia. Bagaimanapun, setakat ini masih tiada tanda dua negara itu mahu melaksanakan prorog atau mengisytiharkan darurat. Ketika ini, ekonomi lebih penting daripada politik. Jika pasaran saham terjejas, ia akan memberi implikasi negatif kepada berbilion wang dan aset negara. Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan lebih 10 juta orang Melayu yang melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) juga akan ikut terkesan. Akibatnya, kita mungkin perlu bertatih semula.

S: Ada juga pendapat darurat atau prorog Parlimen akan menggugat demokrasi dan menjurus ke arah pentadbiran diktator?

J: Dakwaan kononnya takut demokrasi rosak dan timbulnya pemerintahan diktator selalu menjadi momokan. Demokrasi di AS dan UK diukur pada ketelusan, keterbukaan, kebebasan bersuara, sistem mahkamah yang mantap serta peluang seimbang untuk semua. Kita jauh daripada itu (demokrasi terjejas dan pemerintahan diktator).

Pemerintahan kita tertakluk sama ada sesuatu parti atau gabungan mendapat dua pertiga jumlah kerusi Parlimen. Kita tahu kerajaan hari ini lemah tanpa angka yang kukuh. Seyogia ditekankan, sejauh mana Yang di-Pertuan Agong, seperti monarki di UK dapat membuktikan peranan seperti termaktub dalam Perlembagaan untuk memastikan tiada masalah timbul antara eksekutif, legislatif dan monarki. Jika garisan antara tiga perkara itu selalu diuji, masalah Perlembagaan akan timbul. Demokrasi bergantung pada kerelaan rakyat. Ia tak boleh dikompromi.

S: Apa langkah terbaik untuk elak kemungkinan PRU sebelum COVID-19 dapat dikawal?

J: Dalam sistem demokrasi ala Westminster, PRU adalah amalan biasa, sama ada berlaku penularan COVID-19 atau tidak, asalkan pihak pemerintah beranggapan ia patut diadakan. Di Malaysia, PRU kebiasaan diadakan dalam jangka masa lima tahun.

Berita Harian X