Jumaat, 23 Oktober 2020 | 6:46pm

COVID-19: Tiga lagi kluster baharu di Sabah, Selangor, KL, Negeri Sembilan

PUTRAJAYA: Tiga lagi kluster baharu COVID-19 dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini, yang membabitkan enam daerah di beberapa negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster baharu itu adalah Kluster Samudera di Sandakan, Sabah; Kluster Palma di Gombak dan Hulu Selangor, Selangor serta Kepong, Kuala Lumpur; dan Kluster Jaya di Sepang, Selangor dan Seremban, Negeri Sembilan.

Beliau berkata, Kluster Samudera mula dikesan membabitkan kes ke-22,612 yang didapati positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada Selasa lalu, sebelum dimasukkan ke Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Sehubungan itu, katanya, saringan membabitkan tujuh kontak rapat dijalankan setakat hari ini dan mendapati semua individu positif COVID-19, menjadikan keseluruhan lapan positif bagi kluster berkenaan.

"Kluster Palma pula dikesan apabila kes ke-20,399 positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 17 Oktober dan dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti 12 lagi kes positif COVID-19. Hingga 23 Oktober, jam 12 tengah hari, seramai 101 individu disaring, yang mana 13 kes dikesan positif COVID-19 (sembilan kes baharu), dan 88 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Berhubung Kluster Jaya, Dr Noor Hisham berkata, ia bermula apabila kes indeks didapati positif pada 20 Oktober lalu hasil saringan di tempat kerja, sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengenal pasti lapan lagi kes positif COVID-19. Hingga 23 Oktober, jam 12 tengah hari, sejumlah 48 individu disaring, yang mana sembilan kes dikesan positif COVID-19 (tiga kes baharu), manakala 39 individu masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, Dr Noor Hisham memaklumkan, sebanyak 31 kluster aktif COVID-19 mencatatkan kes harian baharu hari ini, dengan 14 daripadanya membabitkan kluster yang dikesan di Sabah.

Jelasnya, Kluster Penjara Kepayan yang mula dikesan di Kota Kinabalu, Sabah, mencatatkan kes baharu tertinggi hari ini dengan 140 kes, menjadikan keseluruhan 722 kes bagi kluster itu.

Kluster Penjara Kepayan mula dikesan Ahad lalu, dengan kes indeks bagi kluster berkenaan adalah hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu pada 14 Oktober lalu.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham memaklumkan, enam kluster lain turut mencatatkan dua angka kes baharu, iaitu Kluster Penjara Reman di Pulau Pinang (39 kes, keseluruhan 446); Kluster Sofi di Negeri Sembilan (27 kes, keseluruhan 61) dan Kluster Saguking di Labuan (14 kes, keseluruhan 71).

Selain itu, Kluster Tujuh Serangkai di Sabah (13 kes, keseluruhan 238); Kluster Sauh di Sabah dan Sarawak (13 kes, keseluruhan 30) serta Kluster Highway di Sabah (11 kes, keseluruhan 39).

Kluster Tanamera dan Kluster Basung di Sabah pula masing-masin mencatatkan enam dan lima kes baharu, manakala Kluster Benteng Lahad Datu, Kluster Auto, Kluster Menara, Kluster Hentian dan Kluster Inai masing-masing merekodkan empat kes baharu hari ini.

Kluster Jalan Meru dan Kluster Bah Tropicana yang dikesan di beberapa negeri masing-masing mencatatkan tiga kes baharu, manakala Kluster Kertang di Sabah pula dua kes baharu, dan 14 kluster lagi masing-masing merekodkan satu kes baharu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X