Khamis, 22 Oktober 2020 | 5:55pm
Sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim
Sekatan jalan raya di Plaza Tol Sungai Besi, Kuala Lumpur. - Foto Hairul Anuar Rahim

27 PATI ditahan dalam Ops Benteng, 636 individu ingkar arahan

KUALA LUMPUR: Seramai 27 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Ops Benteng semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata dalam operasi bagi mengekang jenayah rentas sempadan serta penularan wabak COVID-19 itu, sebanyak sembilan kenderaan turut dirampas.

Ops Benteng membabitkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Imigresen, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM) dan agensi berkaitan lain.

"Operasi ini bagi mengawal ketat sempadan negara secara bersepadu daripada dibolosi PATI bagi mengekang jenayah rentas sempadan selain mengekang penularan wabak COVID-19," katanya pada sidang media hariannya yang disiarkan secara langsung, hari ini.

Dalam operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) pula, Ismail Sabri berkata, seramai 636 individu ditahan semalam kerana ingkar arahan.

Katanya, ia membabitkan kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka, tiada penjarakan fizikal, aktiviti perjudian serta gagal merekodkan butiran diri.

Selain itu, beliau memaklumkan, sebanyak 320 sekatan jalan raya turut diadakan semalam, membabitkan 246 oleh PDRM, 65 dilakukan ATM dan sembilan lagi oleh AKSEM.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X