Rabu, 21 Oktober 2020 | 7:10pm

Ops Benteng: 37 PATI ditahan semalam

KUALA LUMPUR: Seramai 37 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan selain 10 kenderaan dirampas melalui Ops Benteng yang dilaksanakan, semalam.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri, berkata kejayaan penahanan PATI dan rampasan kenderaan itu dibuat hasil 302 sekatan jalan raya (SJR) yang diadakan semalam oleh pihak berkuasa.

"Ops Benteng semalam membabitkan 230 SJR oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), 65 SJR oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan sembilan SJR oleh Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (AKSEM).

"Daripada keseluruhan SJR itu, pihak berkuasa menahan 37 PATI dan merampas 10 kenderaan darat, " katanya pada sidang media, di sini.

Ismail Sabri berkata, selain PDRM, ATM dan AKSEM, Ops Benteng turut membabitkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Katanya, melalui Ops Benteng, kawalan ketat dikuatkuasakan di sempadan negara secara bersepadu bagi memastikan ia tidak dibolosi PATI untuk mengekang jenayah rentas sempadan selain membendung penularan COVID-19.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Anggota polis dan tentera memeriksa pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Perak semalam. - Foto BERNAMA
    Anggota polis dan tentera memeriksa pemandu dan penumpang kenderaan yang melalui sekatan jalan raya Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ketika tinjauan di Jalan Perak semalam. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X