Selasa, 20 Oktober 2020 | 4:52pm
Sungai Langat. Foto NSTP
Sungai Langat. Foto NSTP

Air hitam, berbau di Sungai Langat bukan dari kilang

PUTRAJAYA: Punca air berwarna hitam dan berbau di sebuah kolam takungan banjir dan Sungai Langat, Selangor bukan daripada efluen dilepaskan oleh kilang memproses kertas terpakai di Mahkota Industrial Park di Banting, kata Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Norlin Jaafar.

Beliau berkata, punca air berwarna hitam dan berbau itu adalah akibat limpahan air bukan najis serta kumbahan rumah kongsi, pada Ogos tahun ini.

Katanya, efluen perindustrian daripada kilang memproses kertas terpakai dirawat dalam Sistem Pengolahan Efluen Perindustrian (SPEP) dan sampel efluen yang diambil oleh JAS, pada 17 Oktober lalu adalah jernih dan tidak berbau.

Sampel telah dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia (JKM) untuk dianalisis bagi memastikan pematuhan kepada Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Efluen Perindustrian) 2009.

"Kolam ini didapati berbau akibat tiada pengaliran air. Kolam menjadi semakin cetek dan dipengaruhi kemasukan air Sungai Langat ketika fenomena air pasang serta surut, selain terdapat satu outlet daripada kolam takungan banjir ini dan ia membawa aliran air berwarna hitam ke Sungai Langat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan berkenaan merujuk kepada isu pencemaran air berwarna hitam dan berbau yang didakwa oleh penduduk Taman Bakti, Sungai Manggis, Banting dan Persatuan Tindakan Alam Sekitar Kuala Langat disiarkan sebuah stesen televisyen tempatan, pada Ahad lalu.

Laporan itu turut mengaitkan sebuah kilang memproses kertas terpakai di Mahkota Industrial Park, Banting yang disyaki melepaskan air berwarna hitam serta berbau dikatakan sebagai sisa industri ke sebuah kolam takungan banjir berdekatan dan seterusnya ke Sungai Langat.

Dalam pada itu, Norlin berkata, kolam takungan banjir terletak kira-kira 150 meter dari Sungai Langat dibina oleh syarikat yang membangunkan kawasan industri itu dengan tujuan menerima kemasukan air larian permukaan daripada sistem perparitan industri di sekitarnya.

Beliau berkata, pada masa ini kumbahan daripada rumah kongsi dirawat menggunakan dua unit tangki septik dan dilakukan proses nyah enapcemar oleh kontraktor berlesen pada setiap minggu dan tiada kumbahan dilepaskan ke mana-mana alur air.

"Air basuhan daripada dapur dan air mandian pekerja (air bukan najis) daripada rumah kongsi dipam masuk ke sistem SPEP kilang kerana air bukan najis ini bersifat organik dan boleh dirawat oleh kilang," katanya.

Menurut Norlin, langkah itu juga adalah sementara kerana rumah kongsi akan dirobohkan dalam tempoh dua bulan lagi, dan rumah kongsi baharu sedang dibina iaitu dalam kawasan kilang.

Sebagai tindakan segera, beliau berkata JAS Selangor mengarahkan pihak kilang untuk melepaskan air larian hujan di dalam parit besar untuk membantu proses pencairan air berwarna hitam di kolam takungan.

"Di samping itu, bilangan pam ditambah bagi menyedut semua air bukan najis ke sistem SPEP kilang untuk dirawat sementara menunggu kelulusan kerja-kerja penyelenggaraan kolam takungan banjir yang dimohon pihak kilang kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat," katanya.

Mengenai isu bunyi bising dan pencemaran udara yang didakwa menyebabkan gangguan kesihatan kepada penduduk Taman Bakti, Norlin berkata bunyi bising itu daripada kerja pemindahan atau pemunggahan kontena di kawasan peletakan kontena terletak kira-kira 30 meter daripada Taman Bakti.

"Kawasan peletakan kontena ini dialihkan ke kawasan di luar kilang dan kini terletak lebih jauh daripada kawasan perumahan," katanya. – BERNAMA

Berita Harian X