Selasa, 20 Oktober 2020 | 10:30am
Keadaan sungai tercemar di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - NSTP/Aswadi Alias
Keadaan sungai tercemar di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di Bestari Jaya. - NSTP/Aswadi Alias

'Putihkan' kilang dekat sungai, rangka pelan jangka panjang

KUALA LUMPUR: Kerajaan Selangor perlu merangka pelan jangka panjang bagi menangani krisis air di negeri berkenaan, selain mengambil tindakan tegas dengan memindahkan kilang yang beroperasi berdekatan lembangan sungai.

Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye, yang menyatakan kekecewaan terhadap krisis tidak berkesudahan itu berkata pencemaran air akan berulang sekiranya tiada tindakan drastik dilakukan secara tuntas.

Sehubungan itu, katanya, 'pemutihan' operator kilang, khususnya yang beroperasi secara haram di sepanjang lembangan sungai wajar dilaksanakan pada skala besar-besaran, sekali gus mencerminkan tekad kerajaan negeri dan pihak berkuasa dalam menangani isu terbabit.

"Saya rasa ini adalah satu masalah yang sudah wujud begitu lama, oleh kerana banyak kilang haram di sepanjang, atau berhampiran Sungai Selangor dan Sungai Gong, malah pihak yang amat tidak bertanggungjawab sudah menimbulkan masalah pencemaran.

"Akibatnya, loji rawatan air terpaksa ditutup, diikuti gangguan bekalan air, yang menjejaskan penduduk di Lembah Klang, membabitkan berjuta akaun pengguna terkesan.

"Unit Jenayah Alam Sekitar yang ditubuhkan sebelum ini harus menunjukkan 'taringnya' dengan mengheret dalang pencemaran ke muka pengadilan secepat mungkin," katanya kepada BH, hari ini.

Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, semalam dilaporkan berkata siasatan Jabatan Alam Sekitar (JAS) menjurus kepada tiga kawasan kilang yang dipercayai terbabit dalam pencemaran bau di Sungai Gong dan mengalir ke Sungai Selangor, sekali gus menjejaskan bekalan air kepada kira-kira lima juta pengguna di Lembah Klang.

Ketua Pengarah Alam Sekitar, Norlin Jaafar, pula berkata tumpuan siasatan kini membabitkan kawasan perindustrian kecil Sungai Bakau dan Taman Industri Velox.

Lam Thye berkata gangguan bekalan air tidak berjadual yang berlaku sejak semalam tidak seburuk pencemaran bau sebelum ini, namun ia mencetuskan kesan mendalam kepada pengguna, khususnya penduduk di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

"Orang ramai terpaksa duduk di rumah untuk putuskan rantaian jangkitan, tetapi apabila air tiada, bagaimana mereka nak lakukan urusan seharian dan kekal berada di kediaman masing-masing?

"Secara logiknya, apabila rumah kita tiada air, jalan pintas adalah dengan mengunjungi rumah anak atau saudara terdekat yang mempunyai bekalan air, namun pendekatan ini tidak dapat dilaksanakan ketika ini kerana kerajaan melaksanakan PKPB.

"Bayangkan keadaan yang menghimpit pengguna, justeru polis dan pihak berkuasa harus segera tangkap penjenayah alam sekitar ini supaya ia dapat membela nasib rakyat, selain menjadi pengajaran kepada semua pihak," katanya.

Berita Harian X