Isnin, 19 Oktober 2020 | 5:16pm
Tinjauan penugasan anggota keselamatan termasuk polis, tentera, RELA dan APM di sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Penjara, Penjara Reman Pulau Pinang. Penutupan jalan dan SJR membabitkan tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer, iaitu Jalan Penjara manakala Jalan Berek dan Jalan Lim Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan. - Foto Danial Saad
Tinjauan penugasan anggota keselamatan termasuk polis, tentera, RELA dan APM di sekatan jalan raya (SJR) sempena Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Jalan Penjara, Penjara Reman Pulau Pinang. Penutupan jalan dan SJR membabitkan tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer, iaitu Jalan Penjara manakala Jalan Berek dan Jalan Lim Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan. - Foto Danial Saad

Kuarantin banduan baharu di pusat transit

Oleh Zanariah Abd Mutalib dan Mahani Ishak

bhnews@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Prosedur operasi standard (SOP) baharu akan dilaksanakan di penjara, yang mana banduan baharu akan dikuarantin selama 14 hari di pusat transit sebelum dimasukkan ke dalam penjara.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata langkah itu bertujuan mengawal penularan COVID-19 yang kini berlaku di beberapa di beberapa penjara di Malaysia.

"Mereka akan menjalani ujian swab terlebih dahulu. Sebelum keputusan keluar, mereka perlu dikuarantin selama 14 hari.

"Selepas keputusan negatif, barulah mereka akan dimasukkan ke dalam penjara," katanya pada sidang media mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini, hari ini.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengkaji semula tatacara dan SOP terhadap tahanan penjara serta lokap berikutan peningkatan kes COVID-19 di penjara.

Ismail Sabri berkata, SOP baharu itu bertujuan memastikan hanya banduan yang betul-betul bebas COVID-19 saja yang akan ditempatkan dengan banduan lain, sekali gus menghalang penularan berterusan di lokasi itu.

"Bagi banduan yang sudah ada di dalam penjara, KKM akan membuat saringan ke atas setiap individu bagi memastikan tiada kes positif kerana jika ada, mereka akan terus dihantar ke hospital untuk rawatan.

"Selain itu, banduan yang dipindahkan ke penjara lain juga akan menjalani SOP ketat, termasuk menjalani kuarantin kerana terdapat kes sebelum ini membabitkan banduan yang positif dari Penjara Alor Star dipindahkan ke Penjara Pokok Sena, yang akhirnya menyebabkan virus itu merebak," katanya.

Selain itu, katanya, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebelum ini sudahmengeluarkan kenyataan supaya kes individu yang disambung reman hanya dilakukan secara sidang video saja bagi mengelakkan penularan virus itu di mahkamah.

"Kita juga melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di banyak penjara dan kawasan sekitarnya bagi mengawal COVID-19 supaya tidak merebak kepada masyarakat luar," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X