Isnin, 19 Oktober 2020 | 4:34pm
HEE Loy Sian (kanan).
HEE Loy Sian (kanan).

"Tiada kilang haram di sepanjang Sungai Selangor" - EXCO Selangor

KUALA SELANGOR: "Memang tiada kilang haram di sepanjang Sungai Selangor."

Demikian penegasan Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna Selangor, Hee Loy Sian, ketika ditanya mengenai kilang yang menjadi punca pencemaran sungai di negeri itu.

Katanya, kebanyakan kilang yang mencemarkan sungai terletak antara 30 hingga 50 kilometer (km) daripada sungai dan bahan cemar yang dihasilkan sampai ke sungai kerana ia dilepaskan ke longkang.

"Memang tak ada industri di sepanjang sungai. Industri yang ada terletak kira-kira 30 hingga 50km.

"Industri yang menghasilkan bahan cemar itu biasanya membuang sisa ke longkang dan ia mengalir ke dalam anak sungai, sebelum sampai ke sungai utama.

"Sepanjang Sungai Selangor memang tiada industri haram. Kalau ada pun, jauh daripada sungai," katanya pada sidang media di Muka Sauk Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 2 di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perancangan dan komitmen kerajaan Selangor untuk memindahkan industri berhampiran sungai di negeri itu, bagi mengatasi kekerapan pencemaran yang menjejaskan bekalan air kepada jutaan pengguna di negeri itu.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, kerajaan Selangor juga akan mula menggunakan dron berteknologi tinggi bulan depan untuk memantau kawasan sungai.

"Kita sudah luluskan hampir RM2 juta untuk negeri guna pakai dron berteknologi tinggi bagi melaksanakan ujian sampel air dengan lebih berkesan dan cepat.

"Pada masa sama, dron ini juga boleh digunakan untuk masuk ke tempat terpencil yang sukar untuk kita capai disebabkan faktor geografi dan sebagainya. Ia akan bermula bulan depan," katanya.

Berita Harian X