Isnin, 19 Oktober 2020 | 11:49am
Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan ada individu positif COVID-19 dan disyaki merayau ke tempat awam. - Foto NSTP
Jabatan Kesihatan Terengganu mengesan ada individu positif COVID-19 dan disyaki merayau ke tempat awam. - Foto NSTP

COVID-19: Pesakit 'merayau', kes positif bertambah di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Pertambahan kes positif COVID-19 di Terengganu dipercayai disebabkan individu positif dan mereka yang disyaki dijangkiti virus berkenaan bebas bergerak ke merata tempat di negeri itu.

Pemantauan awal pihak Jabatan Kesihatan negeri mendapati mereka disyaki tidak menjalani kuarantin kendiri dan 'merayau' ke banyak tempat seperti pasar raya, restoran dan tempat tumpuan awam.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Nor Azimi Yunus, berkata susulan sikap cuai individu terbabit, kes positif COVID-19 di negeri ini bertambah kepada 162 kes selepas dua lagi kes baharu dilaporkan semalam.

"Kami berharap individu yang terpaksa menjalani proses kuarantin supaya terus berada di rumah bagi menyekat penularan COVID-19 di Terengganu.

"Setiap kali kita menerima kes baharu atau kes disyaki COVID-19, kita akan siasat pergerakan kes selama 14 hari," katanya melalui kenyataan, hari ini.

Dr Nor Azimi berkata, dua kes baharu positif COVID-19 di negeri ini adalah satu kes import di mukim Tepoh, Kuala Nerus dan satu kes tempatan di mukim Pelagat, Besut.

Katanya, kes aktif yang dilaporkan di seluruh negeri adalah sebanyak 24 kes manakala kes sembuh harian sebanyak lima kes.

Justeru, beliau menggesa masyarakat mengehadkan pergerakan mereka dan terus mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) terutama penjarakan fizikal, memakai pelitup muka dan mencuci tangan.

"Kita dapati masyarakat bukan sekali mengunjungi restoran dan premis perniagaan, malah dua dan tiga kali sehari sehingga menyukarkan kita untuk membuat pengesanan.

"Hasil pemantauan dilakukan turut mendapati ada juruwang dan pemilik premis perniagaan termasuk kedai makan tidak memakai pelitup muka.

"Elakkan juga berada di kawasan yang bersesak dan sempit serta hindarkan berbual atau bersembang dalam jarak yang dekat," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X