Ahad, 18 Oktober 2020 | 7:17pm

COVID-19: 4 lagi kluster baharu dikenal pasti

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengenal pasti empat lagi kluster baharu COVID-19, hari ini, membabitkan lima negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata ia adalah Kluster Bah Layangan di Labuan dan Rembau, Negeri Sembilan; Kluster Alma di Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Tengah, Pulau Pinang; Kluster Auto di Petaling, Kuala Langat dan Klang, Selangor, serta Seremban, Negeri Sembilan; dan Kluster Penjara Kepayan di Kota Kinabalu, Sabah.

Beliau berkata, Kluster Bah Layangan dikesan apabila kes ke-15,654 yang ada sejarah perjalanan ke daerah berisiko tinggi, dikesan positif hasil saringan individu bergejala pada 10 Oktober lalu dan dimasukkan ke Hospital Labuan.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, 142 individu sudah disaring dengan 13 dikesan positif, 67 negatif dan 62 masih menunggu keputusan," katanya pada sidang media COVID-19, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Alma pula dikesan hasil saringan individu bergejala, Rabu lalu, sebelum kes dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang.

Setakat ini, beliau berkata, seramai 183 individu telah disaring dengan tujuh disahkan positif, 43 negatif dan 133 masih menunggu keputusan.

Seterusnya, Kluster Auto juga dikesan hasil saringan individu bergejala pada Khamis lalu, dan kes dirawat di Hospital Sungai Buloh.

"Sembilan kes positif telah dikesan, setakat ini. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, Kluster Penjara Kepayan dikesan hasil saringan kemasukan ke Hospital Queen Elizabeth di Kota Kinabalu, Sabah, Rabu lalu.

"Setakat jam 12 tengah hari tadi, sejumlah 170 individu sudah disaring dengan 49 kes dikesan positif, manakala 121 lagi negatif," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Gambar hiasan. - NSTP/ASWADI ALIAS
    Gambar hiasan. - NSTP/ASWADI ALIAS
    Berita Harian X