Ahad, 18 Oktober 2020 | 12:37pm

Penjara Reman Pulau Pinang perlukan pelitup muka

GEORGETOWN: Penjara Reman Pulau Pinang memerlukan lebih banyak pelitup muka dan cecair pembasmi kuman bagi mencegah penularan COVID-19 dalam kalangan penghuni penjara berkenaan.

Keperluan itu seiring dengan peningkatan kes penularan pandemik berkenaan bagi Kluster Penjara Reman.

Pengarah Jabatan Penjara Negeri Pulau Pinang Roslan Mohamed, berkata perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, pihak berkenaan memberi maklum balas yang baik berhubung perkara itu.

"Memang agak sukar untuk membuat penjarakan sosial dalam kalangan banduan. Sehubungan itu, kita mengambil pendekatan dengan mewajibkan pemakaian pelitup muka bagi mengelakkan penularan.

"Begitu juga dengan Penjara Jawi, namun kita mendapat pelbagai sumbangan daripada orang ramai termasuk wakil rakyat dan badan bukan kerajaan (NGO)," katanya kepada media, di sini, hari ini.

Terdahulu beliau ditemui di perkarangan Penjara Reman Pulau Pinang bagi menerima sumbangan pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan barangan makanan daripada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Perancangan Bandar dan Desa negeri Jagdeep Singh Deo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).

Hadir sama ialah Pengarah Penjara Reman Pulau Pinang, Mohamed Jusoh Ismail.

Roslan berkata, sehingga jam 12 tengah hari semalam, sebanyak 291 kes membabitkan positif COVID-19, di Penjara Reman Pulau Pinang dan 26 kes di Penjara Jawi.

Katanya, setakat ini Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Penjara Reman terkawal dan masih belum ada keperluan bagi melakukan PKPD bagi Penjara Jawi.

"Keadaan kedua-dua penjara terkawal dan 605 banduan dan 183 kakitangan di Penjara Reman sudah menjalani ujian swab.

"Kini ujian swab bagi kali kedua sedang dilakukan, " katanya.

PKPD Kluster Penjara Reman bermula 15 hingga 27 Oktober itu membabitkan penutupan jalan dan sekatan jalan raya di tiga laluan dengan radius sejauh 1.68 kilometer.

Laluan berkenaan ialah Jalan Penjara manakala di Jalan Berek dan Jalan Lim Huat pula, penutupan hanya membabitkan sebahagian jalan berkenaan.

Ia membabitkan seramai 2,298 banduan selain tujuh blok kuarters kakitangan dan lapan unit rumah pegawai dengan jumlah sebanyak 610 orang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • PENJARA Reman Pulau Pinang perlu mewajibkan semua penghuni penjara memakai pelitup muka bagi mengelak penularan virus COVID-19. Foto/Danial Saad
    PENJARA Reman Pulau Pinang perlu mewajibkan semua penghuni penjara memakai pelitup muka bagi mengelak penularan virus COVID-19. Foto/Danial Saad
    Berita Harian X