Sabtu, 17 Oktober 2020 | 1:57pm
Pesawat TUDM Airbus 400 berlepas pagi ini dari Subang ke Tawau, membawa aset dan pasukan Hospital Medan ATM. - Foto FB TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH
Pesawat TUDM Airbus 400 berlepas pagi ini dari Subang ke Tawau, membawa aset dan pasukan Hospital Medan ATM. - Foto FB TAN SRI DR NOOR HISHAM ABDULLAH

14,000 tan kelengkapan perubatan dihantar ke Hospital Medan ATM

PETALING JAYA: Sejumlah 14,000 tan kelengkapan perubatan serta 73 pegawai dan anggota tentera dihantar ke Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di Tawau, Sabah menerusi penerbangan pertama perkhidmatan kesihatan pasukan keselamatan itu pagi tadi.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan ATM, Lt Jen Datuk Pahlawan Dr Md Amin Muslan, berkata penghantaran petugas dan semua kelengkapan termasuk peralatan perlindungan diri (PPE) itu sebagai persediaan penugasan di hospital medan yang dijadual beroperasi Selasa depan.

"Ini kali pertama kolaborasi kami dengan Kementerian Kesihatan (KKM) bagi membantu mereka, khususnya memberi ruang kepada Hospital Tawau untuk beroperasi sepenuhnya menangani COVID-19.

"Pihak ATM menerusi hospital medan akan terus berada di sana untuk tempoh yang diperlukan KKM sehingga keadaan penularan wabak ini terkawal," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Subang dekat sini, hari ini.

Kelengkapan perubatan serta petugas kesihatan terbabit dihantar pada kira-kira jam 8.30 pagi menerusi pesawat pengangkut A400M dan mendarat di Tawau sebelum dijadualkan kembali dengan membawa balik sampel ujian saringan COVID-19 dari Sabah.

Ahad lalu, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata kerajaan akan membuka Hospital Medan ATM yang dijangka mula beroperasi 20 Oktober ini.

Hospital medan yang dioperasikan oleh ATM itu bertujuan memberikan bantuan sokongan merawat kes selain COVID-19, pembedahan trauma dan kecemasan, wad bersalin serta lain-lain. - BERNAMA

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X