Jumaat, 16 Oktober 2020 | 6:50pm

COVID-19: 6 kematian hari ini

PUTRAJAYA: Enam kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes kematian di negara ini sebanyak 176 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes kematian ke 171 itu membabitkan kes ke 11,628 iaitu lelaki berusia 66 tahun.

"Beliau mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan strok serta dilaporkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

"Kes kematian ke 172 membabitkan kes ke 15,853 iaitu lelaki berusia 72 tahun. Beliau mempunyai penyakit jantung dan disahkan meninggal dunia di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

"Bagi kematian ke 173 ialah lelaki berusia 39 tahun dan mempunyai penyakit strok. Beliau disahkan meninggal dunia di Hospital Semporna," katanya pada sidang media harian COVID-19, di sini hari ini.

Sementara itu bagi kes kematian ke 174, Dr Noor Hisham berkata ia membabitkan wanita berusia 74 tahun dan mempunyai beberapa penyakit kronik.

"Beliau mempunyai penyakit darah tinggi, kencing manis dan penyakit buah pinggang dan disahkan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth.

"Bagi kes kematian ke 175 dan 176 ia membabitkan lelaki dan meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth dan Pusat Perubatan Universiti Malaya," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X