Jumaat, 16 Oktober 2020 | 4:03pm
(Gambar fail) Penduduk mendapatkan bantuan bekalan air berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sungai, baru-baru ini. - NSTP/SHAHMI IMRAN
(Gambar fail) Penduduk mendapatkan bantuan bekalan air berikutan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan LRA Bukit Tampoi terpaksa dihenti tugas akibat pencemaran sungai, baru-baru ini. - NSTP/SHAHMI IMRAN

Pencemaran sungai: 3 suspek akan dibebaskan dengan jaminan polis

SEREMBAN: Tiga lelaki disyaki terbabit kes pencemaran Sungai Batang Benar di Nilai dan Sungai Semenyih di Selangor pada 6 Oktober lalu, akan dibebaskan dengan jaminan polis, esok.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, berkata ketiga-tiga lelaki berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu dibebaskan sementara menunggu keputusan Pejabat Peguam Negara.

"Kertas siasatan telah dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri Sembilan, semalam.

"Ia akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara, Isnin ini, untuk keputusan berhubung pendakwaan.

"Esok, Jabatan Alam Sekitar negeri akan turut mengambil keterangan mereka untuk siasatan kes," katanya ketika dihubung Bernama, di sini, hari ini.

Sebelum ini, kesemua suspek berkenaan ditahan di Kota Bharu, Kelantan.

Dua daripadanya ditahan pada 6 Oktober lalu dan direman selama 12 hari, manakala seorang lagi diberkas pada 12 Oktober serta direman enam hari.

Pada 5 Oktober lalu, Kementerian Alam Sekitar dan Air memaklumkan bahawa sejumlah bahan buangan serta bahan sebatian organik tersisa ditemukan dalam belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai, yang menjadi punca pencemaran Sungai Batang Benar.

Susulan pencemaran itu, dua loji rawatan air di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sehingga mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan sejumlah 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Pada 9 Oktober lalu, Ketua Pegawai Eksekutif Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Suhaimi Kamaralzaman, dilaporkan sebagai berkata gangguan bekalan air di 274 kawasan terjejas dalam wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya telah pulih sepenuhnya. – BERNAMA

Berita Harian X