Khamis, 15 Oktober 2020 | 4:40pm
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas mengumumkan Insentif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa ketika sidang media selepas mengumumkan Insentif Wilayah Cakna 3.0 di Putrajaya. - Foto Mohd Fadli Hamzah

BN tak bincang syor gantung Parlimen

PUTRAJAYA: Cadangan supaya Dewan Rakyat digantung bagi memberi laluan bagi pengendalian kes COVID-19, tidak pernah dibincangkan di peringkat Barisan Nasional (BN).

Setiausaha Agungnya, Tan Sri Annuar Musa, berkata cadangan itu sebaliknya hanya dikemukakan MIC menerusi Presidennya, Tan Sri S A Vigneswaran, semalam.

Yang di-Pertuan Agong melalui Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, mempunyai kuasa untuk memprorog atau membubarkan Parlimen.

Prorog Parlimen ialah pemberhentian atau penggantungan persidangan Dewan Rakyat tanpa membubarkan Parlimen.

"Prorog Parlimen (menggantung Dewan Rakyat) ini tidak pernah dibincangkan langsung di peringkat BN, selain ia sama sekali tak akan menjadi syor kita kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau mengulas cadangan dikemukakan Vigneswaran berikutan polemik pembentukan kerajaan baharu susulan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim memiliki majoriti untuk berbuat demikian.

Mengenai usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri yang mahu dibawa wakil rakyat daripada BN, Annuar berkata, Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah berhak untuk berbuat demikian.

"Beliau berhak sebagai Ahli Parlimen untuk mengemukakan apa-apa usul dan pada masa sama Yang Dipertua Dewan Rakyat juga bertanggungjawab untuk melaksanakan tugas berdasarkan peraturan sedia ada.

"Sebagai Ahli Parlimen agak lama, saya faham dan tidak akan tanya sesuatu yang sudah tahu jawapannya. Saya juga enggan mengulas dakwaan UMNO terbahagi kepada dua kumpulan kerana ia hanyalah spekulasi," katanya.

Ditanya mengenai syarat ditetapkan BN dan UMNO untuk terus menyokong Perikatan Nasional (PN), beliau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata, BN belum memuktamadkan apa-apa keputusan perkara itu.

"Di peringkat BN, kita belum adakan apa-apa mesyuarat jadi tiada maklumat terbaharu dan kita tak boleh jangka bila mesyuarat akan diadakan sebab belum dapat arahan.

"Bagaimanapun, mesyuarat Biro Politik UMNO memutuskan hanya Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan mempunyai kuasa untuk membuat ulasan," kata Ahli Parlimen Ketereh itu.

Berita Harian X