Khamis, 15 Oktober 2020 | 3:59pm
Anggota polis trafik Daerah Gombak bersama anggota tentera melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 14 Jalan Ipoh sebelum ditamatkan malam tadi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin
Anggota polis trafik Daerah Gombak bersama anggota tentera melakukan pemeriksaan di sekatan jalan raya (SJR) di Kilometer 14 Jalan Ipoh sebelum ditamatkan malam tadi. - Foto NSTP/Mohd Yusni Ariffin

6 SJR ditamatkan, 3 jalan dibuka semula di Gombak

KUALA LUMPUR: Polis menamatkan enam sekatan jalan raya (SJR) dan membuka kembali tiga laluan sekitar Gombak bagi mengelakkan kesesakan lalu lintas.

Langkah itu juga untuk mengatur gerak semula anggota bagi pemantauan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di kawasan tumpuan seperti pasar raya, pasar awam, pusat komersil dan kawasan riadah.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe, berkata SJR yang ditamatkan membabitkan di Kilometer (KM) 14 Jalan KL–Ipoh dari Rawang menghala Kuala Lumpur (KL); KM 14 Jalan KL–Ipoh dari KL menghala Rawang serta Jalan Gombak berhampiran Balai Polis Gombak dari Setapak ke Gombak.

Katanya, tiga lagi SJR membabitkan Jalan Gombak berdekatan Balai Polis Gombak dari Gombak ke Setapak; Jalan Desa Aman Puri, Desa Jaya dan Batu 20 Jalan KL– Rawang.

"Pembukaan laluan pula di Jalan Lama Gombak–Genting Sempah (Simpang Kuari); simpang masuk Jalan ke Selayang Pandang (KM 14 Jalan KL–Ipoh) dan Jalan besar Selayang Baru (sebelum stesen minyak Jalan Ipoh– KL).

"Bagaimanapun, dua lokasi baharu SJR diadakan iaitu sebelum Plaza Tol Gombak dari Bentong menghala ke Gombak serta selepas Plaza Tol Rawang dari Sungai Buloh menghala Rawang.

"Penamatan SJR dan penempatan SJR baharu berkuat kuasa bermula 12.01 tengah malam tadi," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Orang ramai dinasihatkan terus mematuhi arahan PKPB bagi mengelakkan tindakan kompaun dikenakan.

Untuk pertanyaan lanjut, orang awam boleh hubungi Hotline COVID-19 Polis Gombak di talian 03–61262240/ 03–61262247.

Berita Harian X