Khamis, 15 Oktober 2020 | 3:39pm
Nuraiman Fathi Mohd Zukki dihukum denda RM3,300 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/ZAIN AHMED
Nuraiman Fathi Mohd Zukki dihukum denda RM3,300 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di Johor Bahru, hari ini. - NSTP/ZAIN AHMED

Kes pemandu wanita sebabkan kematian tentera: Tunang didenda RM3,300

JOHOR BAHRU: Tunang kepada pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan pada Sabtu lalu, dihukum denda RM3,300 selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan di Mahkamah Majistret di sini, hari ini.

Tertuduh, Nuraiman Fathi Mohd Zukki, 23, yang juga seorang pekerja kilang, mengaku bersalah membenarkan tunang untuk memandu kereta miliknya tanpa memiliki lesen memandu, kenderaan tamat tempoh cukai jalan dan kenderaan tiada insurans, sejurus ketiga-tiga pertuduhan itu dibacakan serentak.

Majistret Suhaila Shafi'uddin yang menjatuhkan hukuman itu turut memerintahkan lesen memandu tertuduh digantung setahun, dan penjara 13 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Nuraiman Fathi dituduh membenarkan tunang, Nur Fatin Nasrah Suhaimi, 23, yang tidak memiliki lesen memandu yang sah, memandu kereta miliknya.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di lampu isyarat Kilometer 4, Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi, di sini, pada jam 8.24 pagi 10 Oktober lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 26(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 26(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM2,000 atau penjara hingga tiga bulan atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa membenarkan tunang memandu kereta miliknya yang sudah tamat tempoh cukai jalan, di tempat dan masa yang sama.

Dia didakwa mengikut Seksyen 15(1) APJ 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 119(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM5,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan ketiga, Nuraiman Fathi dituduh membenarkan tunang memandu kereta miliknya yang tidak ada perlindungan insurans seperti dikehendaki bawah Bahagian IV APJ 1987 (Akta 333/87), di tempat dan masa yang sama.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 90(1) APJ 1987 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 90(2) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda hingga RM1,000, jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang tiada diwakili peguam, membayar denda berkenaan.

Kes dikendalikan oleh Pengarah Pendakwa Raya Johor, Tengku Amir Zaki Tengku Abd Rahman, serta Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.

Berita Harian X