Khamis, 15 Oktober 2020 | 2:51pm
Foto hiasan
Foto hiasan

Jemaah Malaysia dijangka boleh tunai umrah paling awal Januari depan

KUALA LUMPUR: Bakal jemaah umrah dari Malaysia dijangka dapat menunaikan ibadah itu di tanah suci paling awal pada Januari tahun depan.

Pengerusi Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji Malaysia (PAPUH), Datuk Seri Razali Mohd Sham, berkata ia susulan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Malaysia yang akan tamat pada 31 Disember ini, yang memungkinkan pintu sempadan negara dibuka semula.

"Bagaimanapun, sehingga kini, Arab Saudi masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang khusus bagi ibadah umrah untuk jemaah dari luar negara," katanya kepada BH ketika dihubungi, di sini, semalam.

Mengenai pengurusan jemaah umrah di negara ini, Razali berkata, setakat ini, tiada pertambahan kumpulan baharu yang mendaftar untuk mengerjakan ibadah itu.

Justeru, pihaknya akan memberi tumpuan kepada kira-kira 50,000 orang yang sudah membuat tempahan sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.

Selain itu, katanya jumlah jemaah yang dibenarkan juga mungkin tidak begitu ramai kerana difahamkan, kerajaan Arab Saudi kemungkinan menetapkan hanya mereka yang berusia antara 18 dan 60 tahun saja yang boleh mengerjakan ibadah itu dari luar negara.

"Kira-kira 30 ke 40 peratus mereka yang mendaftar untuk mengerjakan umrah dengan ahli kita berusia 60 tahun ke atas, selain ramai mutawif dan ketua kumpulan yang akan pergi juga kebanyakannya dalam lingkungan usia itu.

"Justeru, jemaah boleh pergi tetapi siapa yang boleh membawa mereka? Ini adalah antara perkara yang perlu kita selesaikan terlebih dulu.

"Bagaimanapun, berdasarkan perbincangan saya dengan Duta Arab Saudi ke Malaysia (Mahmoud Hussein Saeed Qattan) pada Isnin lalu, setakat ini masih tiada kenyataan rasmi daripada kerajaan negara itu berhubung syarat untuk jemaah dari luar negara. Ia hanya disiarkan oleh media di sana saja, jadi kita masih menunggu," katanya kepada BH, hari ini.

Pada 22 September lalu, Kementerian Dalam Negeri Arab Saudi dalam kenyataan yang disiarkan Saudi Press Agency, membenarkan kembali jemaah menunaikan umrah secara berperingkat untuk sepanjang tahun, bermula 4 Oktober lalu, selepas tujuh bulan kebenaran itu digantung berikutan wabak COVID-19.

Sebagai permulaan kira-kira 6,000 warga dan penduduknya dibenarkan menunaikan umrah setiap hari bermula tarikh berkenaan, manakala jemaah dari luar pula akan dibenarkan menunaikan umrah bermula 1 November dengan kapasiti hingga 20,000 orang setiap hari.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri memaklumkan, Malaysia akan mendapatkan maklumat rasmi dan berbincang dengan kerajaan Arab Saudi sebelum sebarang keputusan membenarkan semula umat Islam negara ini menunaikan umrah.

Selain itu, Razali berkata, bakal jemaah yang dapat menunaikan umrah itu juga mungkin terpaksa berdepan peningkatan kos sekurang-kurangnya RM3,000, antaranya termasuk kos kuarantin selama 14 hari selepas pulang ke tanah air dan ujian swab COVID-19.

Beliau berkata, ketika ini, pihaknya sedang berbincang dengan Kementerian Kesihatan mengenai prosedur operasi standard (SOP) bagi menunaikan umrah, selain dengan Malaysia Airports Holdings Berhad (Malaysia Airports) berhubung cadangan mendaftar masuk jemaah dari Masjid Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Berita Harian X