Khamis, 15 Oktober 2020 | 1:35pm
Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - NSTP/Zain Ahmed
Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini. - NSTP/Zain Ahmed

Pemandu wanita sebabkan kematian tentera dipenjara 6 tahun, denda

JOHOR BAHRU: Pemandu wanita yang menyebabkan kematian seorang anggota tentera dalam kemalangan Sabtu lalu, dijatuhi hukuman penjara enam tahun dan denda RM8,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas kesalahan memandu di bawah pengaruh dadah.

Majistret Suhaila Shafi'uddin membuat keputusan berkenaan selepas Nur Fatin Nazrah Suhaimi, 23, mengaku bersalah atas tuduhan dihadapi.

Majistret turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan lagi jika gagal membayar denda, selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Suhaila turut memerintahkan Nur Fatin yang juga seorang pekerja kilang, membayar denda berjumlah RM3,300 atas tiga lagi kesalahan iaitu tidak mempunyai lesen memandu dan memandu kenderaan tiada cukai jalan serta insurans, selepas turut mengaku bersalah atas ketiga-tiga kesalahan berkenaan.

Tertuduh juga diperintah menjalani hukuman penjara tambahan masing-masing selama enam, empat dan tiga bulan sekiranya gagal membayar denda, selain hilang kelayakan untuk memegang dan memperbaharui lesen memandu selama lima tahun.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa memandu di bawah pengaruh dadah sehingga menyebabkan kematian anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laskar Kanan Mohd Rizal Buseri, 31, di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi pada jam 8.24 pagi, 10 Oktober lalu.

Nur Fatin Dia didakwa mengikut Seksyen 44 (1) (a) Akta Pengangkutan Jalan Raya (APJ) 1987, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda maksimum RM20,000, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua hingga ketiga, tertuduh didakwa memandu tanpa lesen, tiada cukai jalan kenderaan dan tiada insurans di lokasi dan masa sama.

Atas kesalahan berkenaan, dia didakwa mengikut Seksyen 26(1) APJ 1987, Seksyen 15(1) dan Seksyen 90(1) akta yang sama, masing-masing memperuntukkan denda maksimum RM2,000, manakala Seksyen 90(1) memperuntukkan denda maksimum RM1,000.

Di mahkamah berasingan, Majistret R Salini memerintahkan Nur Fatin dipenjara tujuh bulan secara berasingan daripada hukuman terdahulu selain menjalani Perintah Pengawasan selama dua tahun selepas mengaku bersalah memasukkan dadah ke dalam badannya.

Dalam pertuduhan kelima itu, tertuduh didakwa memasukkan dadah berbahaya jenis methamphetamine dan amphetamine.

Dia dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a)Akta Dadah Berbahaya 1952, dengan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.

Kes berkenaan dikendalikan Pengarah Pendakwa Raya Negeri, Tengku Amir Zaki Tengku Abdul Rahman dan Timbalan Pendakwa Raya, Noridayu Md Kassim.

Terdahulu, Nur Fatin yang dilihat lemah duduk di kerusi roda, dibawa masuk ke mahkamah kira-kira jam 8.40 pagi oleh polis trafik pengiring.

Sabtu lalu, polis dilapor menahan pemandu Perodua Myvi wanita berkenaan selepas terbabit dalam nahas dengan dua kenderaan di Kilometer 4 Jalan Johor Bahru-Kota Tinggi di sini.

Kejadian menyebabkan Mohd Rizal maut di lokasi kejadian manakala seorang lagi mangsa, Chang Ah May, 78, mengalami kecederaan ringan.

Saringan awal air kencing mendapati pemandu wanita berkenaan turut positif dadah.

Kemalangan kira-kira jam 9 pagi itu membabitkan kenderaan dipandu Nur Fatin dengan kereta jenis Honda Accord dan Proton Iswara.

Rakaman video kemalangan berkenaan tular di media sosial dan mendapat perhatian masyarakat.

Berita Harian X