X
Rabu, 14 Oktober 2020 | 4:37pm
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) menunjukkan peta lokasi SJR yang bermula hari ini hingga 27 Oktober - Foto NSTP/Norzamira Che Noh
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib (tengah) menunjukkan peta lokasi SJR yang bermula hari ini hingga 27 Oktober - Foto NSTP/Norzamira Che Noh

PKPB: Kompaun serta-merta di sekatan jalan raya

SHAH ALAM: Polis akan mengetatkan pemeriksaan serta sekatan terhadap pengguna jalan raya selepas jam 10 malam selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang bermula tengah malam tadi.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib, berkata sekiranya ada individu yang dikesan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika pemeriksaan Sekatan Jalan Raya (SJR) dijalankan, mereka akan dikompaun serta-merta.

"Tindakan tegas akan diambil terhadap individu yang tidak mengikuti SOP yang ditetapkan selepas jam 10 malam, bagaimanapun, untuk SJR pada waktu siang, kita akan lebih longgar yang mana kita faham kebanyakan penduduk daerah ini masih bekerja dalam tempoh PKPB.

"Untuk PKPB, sebanyak empat SJR utama kita laksanakan di beberapa laluan masuk ke daerah ini iaitu di Persiaran Kayangan Seksyen 7; Persiaran Tengku Ampuan Seksyen 26, Plaza Tol Shah Alam dan Plaza Tol Setia Alam.

"SJR bergerak juga akan dijalankan di beberapa lokasi mengikut keperluan yang mana akan dijalankan selama dua jam (di setiap lokasi) dan akan dilaksanakan oleh balai-balai polis," katanya kepada sidang media penugasan SJR peringkat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini hari ini.

Beliau berkata, secara keseluruhan, seramai 250 pegawai dan anggota IPD Shah Alam digerakkan untuk SJR kali ini manakala Angkatan Tentera Malaysia (ATM) menempatkan 36 anggota.

Katanya, selain daripada SJR, elemen seperti Unit Kereta Peronda (MPV), Unit Rondaan Bermotosikal (URB) dan Unit Pemantauan PKPB Op COVID-19 akan membuat hebahan dan peringatan.

Dalam pada itu, Baharudin memaklumkan keadaan trafik di daerah itu seperti biasa yang mana warga Shah Alam dilihat memahami serta mematuhi pelaksanaan PKPB yang dijangka berlanjutan sehingga 27 Oktober ini.

Sementara itu, sebanyak tiga lokasi SJR dilaksanakan oleh IPD Klang Utara iaitu hadapan Stesen Minyak Petron (berdekatan Aeon Mall Bukit Raja); Batu 8, Jalan Meru Tambahan dan Batu 10, Jalan Kapar.

Manakala di Klang Selatan pula, SJR diadakan diPersiaran Kota (susur keluar Majlis Perbandaran Klang); Batu 2 Jalan Langat (arah Klang ke Banting) dan Jalan Datuk Mohd Sidin.

Berita Harian X