Rabu, 14 Oktober 2020 | 10:35am

Tukang gunting keliru kebenaran operasi PKPB

KUALA LUMPUR: Tukang gunting rambut sekitar Lembah Klang keliru sama ada dibenarkan operasi atau tidak berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Lembah Klang bermula hari ini.

Presiden Persatuan Penggunting Rambut Bumiputera Malaysia (MBBA), TN Winda Mohd Tahir, berkata pihaknya masih tidak mendapat maklumat tepat sama ada boleh beroperasi atau tidak sepanjang PKPB itu.

Katanya, beliau ada menghubungi Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan dimaklumkan perlu mendapatkan kebenaran pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Sebelum ini, kami tidak perlu mendapatkan kebenaran daripada PBT dan maklumat MKN menyatakan semua perniagaan dan kegiatan ekonomi dibenarkan.

"Melalui maklumat melalui sidang media Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub hanya dinyatakan aktiviti sosial dan perniagaan seperti bar dan kelab malam serta taman tema tidak dibenarkan beroperasi tidak termasuk kedai gunting rambut dan salon.

"Justeru, kami mahukan penjelasan lanjut mengenainya kerana ramai ahli kita masih kabur dan keliru dengan perkara ini," katanya kepada BH, hari ini.

Kerajaan melaksanakan PKPB di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya prosedur operasi standard (SOP) mulai hari ini hingga 27 Oktober depan.

Ia dibuat selepas mendapat nasihat Kementerian Kesihatan dan mengambil kira peningkatan kes serta penularan COVID-19 seperti di Klang, Petaling serta Gombak.

Semalam , Ismail Sabri dilaporkan berkata, kebanyakan aktiviti ekonomi dan industri di Lembah Klang yang dilaksanakan PKPB dibenarkan beroperasi seperti biasa.

Bagaimanapun, aktiviti di pusat hiburan seperti kelab malam tetap tidak dibenarkan, selain operasi taman tema dan panggung wayang yang sebelum ini sudah dibenarkan.

Pada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perkhidmatan gunting rambut, kecantikan dan perkara berkaitan dengannya tidak dibenarkan beroperasi.

Namun, 10 Jun lalu, ia dibenarkan dengan SOP baharu yang ketat dan hanya membabitkan aktiviti gunting rambut, cukur misai dan jambang, solekan dan dandanan rambut, cuci muka serta rawatan perapian kuku tangan dan kaki.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X