Selasa, 13 Oktober 2020 | 11:56am

Seorang lagi suspek cemar Sungai Batang Benar ditahan polis

KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lagi suspek yang dipercayai terbabit dengan kes pencemaran Sungai Batang Benar, yang menyebabkan gangguan bekalan air di Selangor, baru-baru ini, semalam

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintendan Azrul Hisham Mohd Shaffie, berkata lelaki berusia 30 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.30 pagi semalam, di Jalan Wakaf Mek Zainab, Kota Bharu, Kelantan.

Suspek ditahan sepasukan polis daripada Cawangan Jenayah Berat (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dibantu anggota JSJ Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai dan D9 JSJ IPK Kelantan.

"Suspek kini direman selama enam hari bermula semalam sehingga 17 Oktober depan.

"Kita juga membuat permohonan menyambung reman dua suspek yang ditahan sebelum ini Mahkamah Seremban dan reman ke atas mereka disambung selama lima hari sehingga 18 Oktober ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu, media melaporkan dua suspek, masing-masing berusia 30 dan 40 tahun ditahan di Kota Bharu, Kelantan pada jam 12.45 tengah hari, Selasa lalu.

Kedua-dua suspek yang bekerja sebagai pemandu lori dan kelindan itu kemudian dibawa ke IPD Nilai dan direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan.

Siasatan kes dijalankan mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan

Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebelum ini memaklumkan, sejumlah bahan buangan dan bahan sebatian organik yang tersisa ditemukan di kawasan belukar di pinggir kawasan industri di Jalan Emas, Kawasan Perindustrian Nilai yang menjadi punca pencemaran di sungai berkenaan.

Akibat pencemaran itu, dua Loji Rawatan Air (LRA) di Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas mengakibatkan gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan 309,687 akaun pengguna di Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Berita Harian X