Isnin, 12 Oktober 2020 | 10:32pm
(Gambar hiasan) Sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup mulai esok dan lusa. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULIMAN
(Gambar hiasan) Sekolah di Sabah, Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya ditutup mulai esok dan lusa. - NSTP/HALIMATON SAADIAH SULIMAN

Institusi pendidikan di Sabah, KL, Selangor dan Putrajaya ditutup - KPM

KUALA LUMPUR: Lebih 2,700 institusi pendidikan berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM) di Kuala Lumpur, Selangor, Putrajaya dan Sabah akan ditutup berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Institusi pendidikan di Sabah ditutup mulai esok hingga 26 Oktober ini, manakala di Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya pula bermula Rabu hingga 27 Oktober.

Menurut KPM dalam satu kenyataan, hari ini, penutupan membabitkan kira-kira 1.7 juta murid dan pelajar itu meliputi TADIKA, sekolah harian, sekolah berasrama penuh, sekolah swasta, kolej vokasional, kolej matrikulasi serta institut pendidikan guru (IPG).

"Keputusan ini akan membabitkan sebanyak 1,336 institusi dengan 511,349 murid dan pelajar di Sabah, termasuk institusi yang sudah ditutup di daerah dikenakan PKPB sebelum ini.

"Selain itu, 1,088 institusi pendidikan membabitkan 935,984 murid dan pelajar di Selangor, termasuk sekolah di mukim Klang serta Petaling yang telah ditutup lebih awal.

"Penutupan ini juga membabitkan 344 institusi pendidikan dengan 254,639 murid dan pelajar di Kuala Lumpur; serta 29 institusi pendidikan bersama 31,917 murid dan pelajar di Putrajaya," katanya.

Berikutan penutupan itu turut membabitkan institusi pendidikan yang mempunyai asrama, menurut kenyataan berkenaan, ibu bapa atau penjaga boleh mengambil murid atau pelajar terbabit untuk pulang.

Bagaimanapun, katanya, murid atau pelajar yang menunggu diambil ibu bapa atau yang ingin terus kekal berada di asrama sepanjang tempoh penutupan itu, akan berada bawah penjagaan warden asrama.

"Keperluan makan dan minum murid atau pelajar sepanjang tempoh berkenaan akan disediakan oleh pihak institusi pendidikan.

"Bagi ibu bapa atau penjaga yang hanya dapat mengambil murid atau pelajar dari asrama ketika tempoh PKPB, mereka perlu memaklumkan kepada pihak institusi pendidikan dan seterusnya, pentadbir akan mengeluarkan surat kepada ibu bapa atau penjaga berkenaan.

"Ini adalah sebagai rujukan kepada pihak berkuasa jika mereka perlu merentas daerah untuk mengambil murid atau pelajar pulang dari asrama," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, pelajar yang perlu menduduki peperiksaan antarabangsa seperti yang telah dijadualkan sepanjang tempoh PKPB pula hendaklah mendapatkan surat daripada sekolah masing-masing untuk menghadiri peperiksaan.

"Pembelajaran bagi murid dan pelajar sepanjang tempoh penutupan juga perlu diberi perhatian.

"Justeru, pentadbir institusi pendidikan diarah memastikan guru atau pensyarah serta murid atau pelajar melaksanakan pengajaran dan pembelajaran di rumah.

"Manual pengajaran dan pembelajaran di rumah boleh dimuat turun di portal rasmi KPM: www.moe.gov.my," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X