Isnin, 12 Oktober 2020 | 8:00pm
Kompleks Sukan Sandakan mempunyai 200 katil selepas dijadikan Pusat Rawatan COVID-19 tanpa gejala atau gejala ringan.- Foto BERNAMA
Kompleks Sukan Sandakan mempunyai 200 katil selepas dijadikan Pusat Rawatan COVID-19 tanpa gejala atau gejala ringan.- Foto BERNAMA

COVID-19: Hospital Kudat juga untuk rawat pesakit

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menambah satu lagi hospital di Sabah bagi merawat pesakit COVID-19, menjadi lapan semuanya.

Ketua Pengarah, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Hospital Kudat kini boleh merawat pesakit COVID-19 yang berada pada tahap 3, 4 dan 5.

"Selain itu, terdapat 16 pusat kuarantin bagi rawatan risiko rendah untuk menempatkan kes positif tanpa gejala, iaitu tahap satu dan dengan gejala ringan (tahap dua)," katanya dalam sidang media harian, di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, kementerian turut menambah bilangan katil hospital di Sabah bagi rawatan COVID-19.

"Harapan kami supaya dapat mengelakkan peningkatan kes mendadak di Sabah.

"Jika nilai kadar kebolehjangkitan COVID-19 atau R naught (R0) dapat diturunkan dari 2.2 kurang kepada 1, kita berjaya membendung penularan wabak ini," katanya.

Semalam, Dr Noor Hisham memaklumkan tujuh hospital bagi rawatan COVID-19 di Sabah ialah Hospital Queen Elizabeth, Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Hospital Duchess of Kent, Hospital Tawau, Hospital Lahad Datu, Hospital Keningau dan Hospital Marudu.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X