X
Ahad, 11 Oktober 2020 | 6:55pm

COVID-19: 5 lagi kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan mengesan lima lagi kluster baharu iaitu tiga di Sabah dan masing-masing satu di Selangor dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Kluster Kasih dikesan di daerah Lahad Datu ketika membuat saringan petugas kesihatan pada 27 September lalu.

"Kes indeks bagi kluster ini dikenal pasti positif ketika membuat saringan petugas kesihatan dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 1,838 individu sudah disaring dan 33 individu disahkan positif. Ini menjadikan seramai 34 positif dalam kluster ini dan 1,804 individu masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini hari ini.

Bagi kluster kedua yang dikesan di Sabah, Dr Noor Hisham berkata Kluster Surat itu dikesan di daerah Sandakan dan sehingga kini sudah menjangkiti 25 individu.

Katanya, kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-15,097 dikenal pasti positif selepas membuat saringan individu bergejala dan dimasukkan ke Hospital Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 74 individu disaring, daripada jumlah itu 25 kes positif dan 49 individu lagi masih menunggu keputusan.

"Manakala kluster ketiga yang dikesan ialah Kluster Khazanah yang membabitkan daerah Lahad Datu. Sehingga kini kluster berkenaan sudah menjangkiti 14 individu.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,842) disahkan positif COVID-19 hasil saringan kontak rapat pada 9 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Lahad Datu.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 652 individu sudah disaring iaitu 14 kes dikesan positif dan 638 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Bagi kluster keempat yang dikesan di Selangor, Dr Noor Hisham berkata Kluster Sungei Way itu membabitkan beberapa daerah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur iaitu Petaling, Gombak, dan Titiwangsa.

"Kes indeks bagi kluster ini iaitu kes ke-14,307 dikenal pasti positif COVID-19 hasil saringan individu bergejala pada 7 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Sungai Buloh untuk rawatan lanjut.

"Saringan kontak rapat sudah dijalankan membabitkan 149 individu, daripada jumlah itu 18 kes positif, 124 negatif dan tujuh lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Dalam pada itu, bagi kluster kelima yang dikesan di Wilayah Persekutuan Labuan, kluster berkenaan dinamakan sebagai Kluster Bah Bundle.

"Kes indeks bagi kluster ini ialah kes ke-11,771 yang dikesan positif hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi iaitu Sabah pada 2 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Labuan.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 430 individu sudah disaring, daripada jumlah itu hanya tiga individu dikesan positif manakala 131 individu lagi negatif dan 296 individu masih menunggu keputusan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X