Ahad, 11 Oktober 2020 | 3:01pm
Cabaran getir menunggu petugas Jabatan Kecemasan Hospital Semporna setiap kali menerima pesakit yang terdedah kepada jangkita COVID-19.
Cabaran getir menunggu petugas Jabatan Kecemasan Hospital Semporna setiap kali menerima pesakit yang terdedah kepada jangkita COVID-19.

'Ayuh rakan-rakan, kita teruskan perjuangan ini'

KUALA LUMPUR: "Buat rakan seperjuangan yang dijangkiti COVID-19, jangan berputus asa dan kuatkan semangat. Terima kasih kerana bertahan di medan perang sebelum ini.

"Kepada rakan-rakan yang masih bertahan, marilah kita teruskan perjuangan ini," luah seorang petugas barisan hadapan yang sedang bertugas di zon merah penularan COVID-19 di Semporna, Sabah, sejak akhir September lalu.

Dr At’fina Ibrahim, bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna.
Dr At’fina Ibrahim, bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna.

Dr At'fina Ibrahim, 34, yang terbang ke Sabah pada 23 September lalu, mengakui berdepan cabaran mental dan fizikal dalam misi berkenaan, mengharapkan rakan setugas yang sama-sama berada di sini terus berjuang demi 'menumpaskan' COVID-19 di negeri ini.

Beliau bersama 20 lagi kakitangan perubatan dari pasukan dari Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Terengganu, Kelantan dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) dijadualkan bertugas di dua daerah di Sabah hingga 31 November ini.

Daripada 20 ahli pasukan, dua daripada dirinya ditugaskan di Jabatan Kecemasan Hospital Semporna, manakala bakinya bertugas di Hospital Tawau.

"Bertugas di sini amat menguji mental dan fizikal, yang saya rasakan tidak mungkin akan dapat saya lupakan hingga bila-bila.

"Ketika mendapat tahu ditugaskan untuk misi COVID-19 ini, perasaan saya bercampur baur dan sukar untuk digambarkan.

"Justeru, saya memahami perasaan rakan seperjuangan yang sama-sama berada di sini...doa kalian semua akan menjadi sumber kekuatan kami, " katanya ketika dihubungi BH, di sini.

Pemakaian PPE adalah satu SOP wajib demi mengelak petugas perubatan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.
Pemakaian PPE adalah satu SOP wajib demi mengelak petugas perubatan terkena jangkitan COVID-19 ketika bertugas.

Berkongsi pengalaman bertugas di Hospital Semporna setakat ini, Dr At'fina berkata, kes yang diterima di Jabatan Kecemasan itu, sangat mencabar kerana pesakit mungkin sudah terdedah dengan COVID-19.

Justeru katanya, ia membuatkan kakitangan perubatan lebih berhati-hati khususnya menjaga prosedur operasi standard (SOP) ketika mengenakan pakaian pelindung diri (PPE) sepanjang bertugas.

"Memakai PPE penuh memang tidak selesa, namun kami rela berpanas dan berpeluh dari tumbang kepada COVID-19.

"Setiap kali merawat pesakit COVID-19 di tahap empat atau lima yang rata-ratanya adalah warga tua, saya sangat terkesan.

"Apatah lagi apabila merawat kanak-kanak masih kecil yang positif COVID-19, mereka tidak bersalah.

"Jadi tolonglah amalkan SOP sebagai norma baharu kerana kita masih belum menang, " katanya yang sudah 10 tahun berkhidmat di Hospital Temerloh, Pahang.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X