Jumaat, 9 Oktober 2020 | 6:40pm

COVID-19: Enam kes kematian direkodkan hari ini

PUTRAJAYA: Enam kes kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes kematian di negara ini sebanyak 152 kes atau 1.03 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kesemua kes kematian ini berlaku di beberapa daerah sekitar Sabah.

Katanya, kes kematian ke-147 ialah seorang lelaki berusia 54 tahun yang mempunyai penyakit darah tinggi dan asma.

"Beliau dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawau. Kes kematian ke-148 ialah seorang lelaki berusia 68 tahun dan meninggal di Hospital Semporna, manakala kematian ke-149 pula membabitkan seorang wanita berusia 66 tahun.

"Beliau mempunyai penyakit kencing manis, darah tinggi dan batuk kering (PTB) dan meinggal dunia di Hospital Queen Elizabeth. Bagi kes kematian ke 150 ia membabitkan seorang wanita berusia 58 tahun dan beliau meninggal dunia di Hospital Tawau.

"Selain itu kes kematian ke-151 membabitkan seorang wanita berusia 57 tahun dan mempunyai penyakit darah tinggi dan meninggal dunia di Hospital Semporna.

"Kes kematian ke-152 membabitkan seorang lelaki berusia 64 tahun dan mempunyai penyakit bengkak kelenjar prostat (BPH). Beliau meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, sebanyak 354 kes positif COVID-19 dilaporkan hari ini iaitu 77.4 peratus atau 274 kes dikesan di Sabah.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 14,722 kes dengan jumlah kes aktif 3,863 kes.

Katanya, daripada jumlah kes baharu itu hanya dua kes import mendapat jangkitan dari luar negara iaitu dari India dan Oman.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini, sebanyak 188 kes sembuh dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh di negara ini sebanyak 10,707 kes bersamaan 72.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Enam kematian akibat jangkitan COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 152 kes - Dr Noor Hisham. Foto NSTP
    Enam kematian akibat jangkitan COVID-19 hari ini menjadikan jumlah kematian di negara ini sebanyak 152 kes - Dr Noor Hisham. Foto NSTP
    Berita Harian X