Khamis, 8 Oktober 2020 | 6:50pm

COVID-19: 5 kluster baharu dikenal pasti

PUTRAJAYA: Lima kluster baharu dikesan iaitu dua kluster dikesan di Sabah dan masing-masing satu kluster di Kuala Lumpur, Sarawak dan Labuan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kluster pertama dikesan di Sabah dikenali sebagai Kluster Tujuh Serangkai membabitkan daerah Tuaran dan hingga kini seramai 23 individu dijangkiti dalam kluster berkenaan.

Kes indeks bagi kluster berkenaan ialah kes ke-11,569 yang dikesan positif hasil saringan bergejala COVID-19 pada 5 Oktober lalu sebelum dimasukkan ke Hospital Queen Elizabeth.

"Hingga 12 tengah hari ini, sebanyak 325 individu sudah disaring dan kita mengesan 22 individu lagi positif dalam kluster ini. Ini menjadikan seramai 23 kes dikesan positif dan 302 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Bagi kluster kedua iaitu Kluster Tanamera, Dr Noor Hisham berkata, kluster berkenaan dikesan di daerah Tawau, Sabah.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke 12,868) dikesan positif COVID-19 hasil saringan bergejala pada 29 September lalu dan dimasukkan ke Hospital Tawau.

"Saringan kontak rapat dapat mengesan lapan lagi kes positif COVID-19. Hingga jam 12 tengah hari, seramai 13 individu sudah disaring yang mana sembilan kes kini positif COVID-19, seorang negatif dan tiga lagi individu masih menunggu keputusan.

"Di Kuala Lumpur pula, kita kesan Kluster Jalan Pantai yang dikenal pasti di daerah Lembah Pantai dan sudah menjangkiti lapan individu. Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-14,265 dan kes ke-14,266) dikesan positif COVID-19 hari ini kerana bergejala sebelum dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

"Saringan kontak rapat mengesan enam lagi kes positif COVID-19. Hingga jam 12 tengah hari ini, seramai 15 individu disaring dan daripada jumlah itu lapan kes positif dan tujuh individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, kluster Bah Arnab yang dikesan di Kuching, Sarawak pula sudah menjangkiti empat individu.

"Kes indeks bagi kluster ini (iaitu kes ke-13,488) dikesan positif COVID19 pada 7 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko tinggi (Sabah) dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak.

"Saringan kontak rapat dapat mengesan tiga lagi individu positif COVID-19. Hingga jam 12 tengah hari, seramai 20 individu sudah disaring dan 16 individu lagi masih menunggu keputusan," katanya.

Sementara itu, kluster kelima yang dikesan ialah Kluster Bah Bangat di Labuan. Kes indeks bagi kluster berkenaan dikesan positif pada 3 Oktober lalu hasil saringan pulang dari kawasan berisiko.

"Saringan kontak rapat mengesan lapan lagi kes positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Labuan untuk rawatan. Hingga jam 12 tengah hari ini, seramai 45 individu sudah disaring.

"Daripada jumlah itu, sembilan individu disahkan positif COVID-19, 32 individu negatif dan empat lagi masih menunggu keputusan. Punca jangkitan bagi kesemua kluster baharu ini masih dalam siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham turut memaklumkan terdapat lima kematian dilaporkan hari ini menjadikan jumlah kes kematian disebabkan oleh COVID-19 ialah 146 kes.

Semua kes kematian berkenaan membabitkan warga emas iaitu empat lelaki dan seorang wanita yang berusia antara 53 hingga 82 tahun dan mempunyai penyakit kronik. Kes kematian yang dilaporkan hari ini membabitkan beberapa daerah di Sabah.


  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X