Khamis, 8 Oktober 2020 | 4:25pm
Anwar mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, 13 Oktober ini. - Foto NSTP
Anwar mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong, 13 Oktober ini. - Foto NSTP

Anwar dakwa dapat perkenan menghadap Agong Selasa depan

KUALA LUMPUR: Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa, beliau mendapat perkenan menghadap Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustaffa Billah Shah, 13 Oktober ini.

Dalam satu kenyataan hari ini, Anwar yang juga Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat, berkata beliau akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang didakwa menyokongnya seperti dinyatakan ketika sidang medianya pada 23 September lalu.

Dengan itu, kata Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), langkah yang sebelum ini tertangguh kini dapat dilaksanakan selepas mendapat perkenan menghadap baginda.

Beliau juga meminta semua pihak untuk terus bertenang susulan perkembangan semasa mengenai politik tanah air.

"Alhamdulillah bersyukur ke hadrat Allah kerana dengan limpah kurnia dan keizinannya,Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah diberi keafiatan daripada kegeringan baru-baru ini.

"Oleh itu, saya ingin menjunjung kasih kerana Tuanku memperkenankan untuk saya mengadap pada hari Selasa, 13 Oktober ini, Insya-Allah.

"Pada majlis mengadap itu, saya akan mempersembahkan keterangan lengkap mengenai jumlah majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan seperti mana yang saya sebut sebelum ini.

"Saya amat berharap rakyat Malaysia untuk terus bertenang dan mendoakan dari rumah atau tempat pekerjaan masing-masing, serta menghormati Peraturan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP)," katanya.

Pada 23 September lalu, Istana Negara mengeluarkan kenyataan, memaklumkan majlis menghadap Seri Paduka oleh Anwar yang dijadualkan berlangsung sehari sebelum itu, ditangguhkan berikutan kegeringan Al-Sultan Abdullah yang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).

Terdahulu, Anwar mendakwa beliau mempunyai majoriti kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan serta akan mempersembahkannya kepada Yang di-Pertuan Agong.

Berita Harian X