Khamis, 8 Oktober 2020 | 2:14pm

Lelaki lambai anak, isteri di JB dari Singapura akibat rindu

JOHOR BAHRU: Seorang suami dan ayah yang kerinduan selepas terpisah dengan isteri dan anaknya selama hampir lapan bulan, bertindak melambai isteri dan dua anaknya di bandar raya ini dari Singapura.

Lebih memilukan, Mohd Izwan Sarip yang bekerja di republik itu dan terkandas di Singapura sejak penutupan sempadan antara dua negara sejak 18 Mac lalu, turut meminta isterinya, Liana Idris membawa anaknya ke kawasan laut yang memisahkan kedua-dua negara, supaya dia dapat melihat mereka dari jauh.

Kisah rindu seorang suami dan bapa itu tular di media sosial sejak pagi tadi walaupun beliau memuat naik 'pertemuannya' dengan keluarganya itu menerusi akaun Facebook sejak Ahad lalu.

Menerusi posting yang dimuat naik menerusi laman Facebook Mohd Izwan, dia membuat panggilan video kepada isterinya, dari Woodlands Waterfront Park di Singapura.

Menerusi video yang dirakamkan rakannya yang turut bekerja dan menetap di Singapura, Mohd Izwan kemudian dilihat bertanya 'mana awak?' sebelum dibalas oleh isterinya, 'saya kat sini, pakai baju hitam putih. Nampak tak?' sebelum dilihat berdiri di jeti dan melambaikan tangan kepada isterinya itu.

Dalam video berkenaan juga turut didengari suara dua anak Mohd Izwan yang ceria sambil berkata 'hai papa'.

Video berkenaan yang tular mengundang sebak di hati netizen yang mendoakan supaya Mohd Izwan dan keluarga terus tabah sehingga sempadan kedua negara dibuka nanti.

Sempadan Malaysia dan Singapura ditutup sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan 18 Mac lalu, bagi mengekang penularan COVID-19.

Bulan lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba, dilaporkan berkata pembukaan sempadan sepenuhnya Malaysia-Singapura bergantung kepada situasi semasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) sehingga Disember ini.

Beliau dilaporkan berkata, KKM akan meneliti kes dan perkembangan penularan wabak COVID-19 sepanjang tempoh itu sebelum memutuskan pembukaan pintu sempadan berkenaan.

SEORANG suami dan ayah, Mohd Izwan Sarip yang kerinduan selepas terpisah dari isteri dan anaknya selama hampir lapan bulan bertindak melambai isteri dan dua anaknya di bandar raya ini, dari Singapura, tular di media sosial sejak pagi tadi. NSTP/TULAR MEDIA SOSIAL
SEORANG suami dan ayah, Mohd Izwan Sarip yang kerinduan selepas terpisah dari isteri dan anaknya selama hampir lapan bulan bertindak melambai isteri dan dua anaknya di bandar raya ini, dari Singapura, tular di media sosial sejak pagi tadi. NSTP/TULAR MEDIA SOSIAL
Berita Harian X