Khamis, 8 Oktober 2020 | 12:36pm
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc
Dudley International House di Melbourne, Australia. - Foto ihsan MARA Inc

DPP setuju dakwa kes penjualan hartanah Dudley International House

KUALA LUMPUR: Timbalan Pendakwa Raya secara dasarnya bersetuju mendakwa beberapa individu berhubung kes penjualan hartanah Dudley International House, di Melbourne, Australia kepada MARA Incorporated Sdn Bhd (MARA Inc).

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki, berkata ketika ini, pihaknya sedang mengatur masa untuk proses pendakwaan di mahkamah membabitkan individu berkaitan.

"Mungkin seorang individu itu tinggal di Sabah dan terbabit dalam kuarantin. Kita kena atur masanya.

"Kes ini tidak diberi sebarang perlindungan oleh mana-mana pihak. Kami tegas menyiasat kes ini, cuma tunggu masa yang saya boleh katakan setakat ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam temu bual secara langsung menerusi slot 'SPRM 360' di MACCfm, hari ini.

Sejak 2015, MARA mengadakan audit dalaman dan membantu siasatan SPRM terhadap anak syarikatnya, MARA Inc, berhubung dakwaan penipuan dalam pembelian hartanah di Melbourne membabitkan pegawai kanannya.

Akhbar Australia, The Age pada 2015 melaporkan seorang pegawai tertinggi MARA, seorang pegawai kanan, dan seorang bekas ahli politik, didakwa membelanjakan berjuta-juta dana kerajaan untuk membeli satu blok apartmen di Melbourne dalam penipuan hartanah itu.

Akhbar itu mendakwa 'sekumpulan pegawai Malaysia yang amat kaya' terlebih bayar sebanyak A$4.75 juta (RM13.8 juta) bagi blok apartmen di bandar raya itu pada 2013.

Dudley International House ialah bangunan lima tingkat seluas 30,279 kaki persegi yang menempatkan 112 bilik termasuk asrama pelajar, dibeli oleh MARA untuk kegunaan pelajar Malaysia tajaannya apabila melanjutkan pelajaran di Australia.

Mengulas perkembangan lain, Azam berkata, pihaknya sudah menetapkan dasar supaya semua orang kena tahan (OKT) SPRM yang ditempatkan di lokap, memakai baju jingga agensi penguat kuasa berkenaan.

"Pemakaian baju itu dibuat mengikut undang-undang lokap. Ia boleh mengelakkan kekeliruan antara OKT SPRM dengan OKT pihak berkuasa lain.

"Ketika OKT dibawa ke mahkamah, pegawai penyiasat akan menentukan keperluan sama ada mereka kena memakai baju itu, ia mengikut keadaan semasa," katanya.

Berita Harian X