Rabu, 7 Oktober 2020 | 7:30pm
Kelihatan kenderaan Hospital Pulau Pinang yang membawa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini, dipercayai melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap petugas penjara dan banduan. Seorang banduan di situ meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19. - Foto Danial Saad
Kelihatan kenderaan Hospital Pulau Pinang yang membawa kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) memasuki Penjara Reman Pulau Pinang di sini, dipercayai melakukan ujian saringan COVID-19 terhadap petugas penjara dan banduan. Seorang banduan di situ meninggal dunia kerana dijangkiti COVID-19. - Foto Danial Saad

COVID-19: 2 kluster baharu dikesan, termasuk satu di penjara

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) mengenal pasti dua kluster baharu COVID-19 hari ini, iaitu Kluster Bah Puchong dan Kluster Penjara Reman yang membabitkan tiga daerah di tiga negeri.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata Kluster Bah Puchong dikesan di Petaling, Selangor, selain di Larut, Matang dan Selama, serta Kinta, Perak; manakala Kluster Penjara Reman dikenal pasti di daerah Timur Laut, Pulau Pinang.

Jelasnya, Kluster Bah Puchong dikesan melalui tiga pesakit indeks yang didapati positif COVID-19 kelmarin, hasil saringan pulang dari Sabah yang dikategorikan kawasan berisiko tinggi, sebelum mereka dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh.

Beliau berkata, saringan kontak rapat mengesan dua lagi kes positif wabak itu di Larut, Matang dan Selama, serta Kinta, dan kedua-duanya kemudian dirawat di Hospital Raja Permaisuri Bainun, Perak.

"Sehingga 7 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 39 individu disaring. Di Selangor, 12 individu disaring dan tiga kes dikesan positif COVID-19, sembilan individu masih menunggu keputusan.

"Di Perak, 27 individu disaring dan dua kes dikesan positif COVID-19, manakala 25 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas Kluster Penjara Reman, Dr Noor Hisham memaklumkan, ia mula dikesan pada seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 85 tahun, yang juga kes kematian ke-141.

Jelasnya, lelaki itu ditemui tidak sedarkan diri dalam penjara awal pagi kelmarin, sebelum disahkan meninggal dunia di Hospital Pulau Pinang. Saringan COVID-19 pada hari sama dikesan positif.

"Saringan kontak rapat dijalankan dan enam lagi kes positif COVID-19 dikenal pasti semalam. Semua kes positif ini membabitkan rakyat Malaysia dan mereka dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang untuk rawatan.

"Sehingga 7 Oktober 2020, 12 tengah hari, sejumlah 286 individu disaring. Keputusan saringan adalah tujuh kes dikesan positif COVID-19, 78 individu negatif dan 201 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19


  • Berita Harian X