Rabu, 7 Oktober 2020 | 6:28pm

Jabatan Perkhidmatan Veterinar siasat ladang itik, angsa

SEREMBAN: Jabatan Perkhidmatan Veteriner Negeri Sembilan (JPVNS) sudah diminta melakukan siasatan terperinci terhadap ladang itik dan angsa di Sungai Pajam berikutan pencemaran di Sungai Batang Benar, Nilai.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata siasatan itu bertujuan mengenal pasti sama ada benar atau sebaliknya pencemaran itu berpunca dari ladang ternakan berkenaan sehingga memberikan kesan kepada bekalan air sebahagian penduduk di Selangor.

"Setakat ini kita tidak boleh sahkan bahawa pencemaran itu adalah berpunca daripada aktiviti penternakan ladang angsa berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati premis itu beroperasi secara tidak sah tetapi kita tidak boleh menyalahkan dia (pengusaha) kerana banyak punca lain yang mungkin menyumbang kepada pencemaran itu.

"Saya anggap pihak yang menyalahkan pengusaha terbabit agak berlebihan dan ia tidak adil kepada pengusaha berkenaan. Kes ini masih dalam siasatan dan seharusnya kita tunggu siasatan daripada pihak berkuasa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan EXCO di Bilik Gerakan Wisma Negeri, di sini, hari ini.

Ahad lalu, dua Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas yang didakwa berpunca daripada aktiviti pembersihan ladang angsa di Sungai Pajam, Nilai Negeri Sembilan.

Terdahulu, Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner, Che Zakaria Othman memaklumkan dua lelaki tempatan yang disyaki terbabit ditahan dan direman tujuh hari bermula hari ini.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, pihaknya juga sudah mendapat maklumat berkaitan kegiatan pembuangan sisa daripada pemberi maklumat.

"Kerajaan negeri telah mendapat maklumat daripada pemberi maklumat mengenai kegiatan pembuangan sisa mencemarkan alam sekitar dan mereka sedang diawasi oleh pihak berkuasa untuk tindakan penguatkuasaan," katanya.

Berita Harian X