Rabu, 7 Oktober 2020 | 9:31am
- Gambar hiasan
- Gambar hiasan

46 kawasan sudah dapat air

KUALA LUMPUR: Sebanyak 46 daripada 274 kawasan yang terbabit dengan gangguan air berikutan henti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Semenyih dan Bukit Tampoi sejak dua hari lalu sudah menerima bekalan air sepenuhnya, pada jam 6 pagi tadi.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), Elina Baseri, berkata sebanyak 228 kawasan masih lagi dalam proses pemulihan di wilayah Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat, Sepang dan Putrajaya.

"Air Selangor sedang mengambil tindakan untuk menstabilkan sistem agihan bagi memulihkan kawasan-kawasan yang masih terjejas.

"Peratusan pemulihan mengikut wilayah adalah, Petaling (37 peratus), Hulu Langat (0 peratus), Kuala Langat (55 peratus) manakala Sepang dan Putrajaya (0 peratus)," katanya.

Beliau turut menasihati pengguna supaya tidak menyimpan dan menggunakan air berlebihan bagi memastikan proses pemulihan bagi kawasan yang masih terjejas berjalan lancar dan mengikut jadual pelan pemulihan Air Selangor.

Kawasan yang pulih adalah Puchong Gateway, Taman Jinma, Serdang Perdana SP 1-5, Serdang Lama, Taman Kembangsari, Pekan Seri Kembangan, Pasar Borong Selangor, KTM serdang, Bandar Puchong Utama 1 & 2.Taman Wawasan, Taman Perindustrian Puchong 1-6, Jalan Bandar 3-20, Taman Sri Puchong, Jalan Merbah, Jalan Tempua & Serindit, Kampung Sri Aman, Kampung Sri Langkas dan Kampung Bersatu Puchong.

Taman Puchong Intan, Kampung Kenangan Puchong, Puchong Utama 1-12, Bandar Bukit Puchong 1-7, Taman Puchong Prima, Taman Puchong Hartamas. Taman Mutiara Puchong, MARDI, Taman Dato Demang, Nahrim, Astro, Bandar Brooklands, Bandar Mahkota dan Bandar Seri Ehsan.

Taman Langat Murni, Taman Langat Utama, Taman Mumimas, RTB Bukit Changgang, Taman Arked, Jalan Banting Dengkil di Kampung Olak Lempit, Jalan Banting Dengkil di Kampung Bukit Changgang, Kampung Olak Lempit, Kampung Labohan Dagang, Taman Seri Dagang, Kampung Bukit Changgang serta Taman Amber dan Pusat Sehenti.

Berita Harian X