Selasa, 6 Oktober 2020 | 6:50pm
Penutupan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilanjutkan hingga Khamis ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19. - Foto BERNAMA
Penutupan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilanjutkan hingga Khamis ini selepas seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19. - Foto BERNAMA

Penutupan UniSZA lanjut hingga Khamis ini

KUALA NERUS: Penutupan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dilanjutkan hingga Khamis ini bagi menyelaraskan semua tindakan secara lebih komprehensif dalam menangani penularan COVID-19.

Sebelum ini, operasi UniSZA ditutup bermula 5 Oktober lalu hingga esok tetapi ia terpaksa dilanjutkan kerana keperluan menjalankan penyelarasan menyeluruh.

UniSZA ditutup susulan seorang kakitangannya disahkan positif COVID-19 yang mempunyai sejarah perjalanan dari Kuala Lumpur ke Terengganu menaiki kapal terbang sama dengan seorang individu disahkan positif COVID-19 yang pulang dari Sabah.

Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan (CCoRM) UniSZA dalam kenyataan hari ini, berkata Jawatankuasa Induk COVID-19 sedang mengurus dan membantu keperluan kakitangan universiti yang terbabit dengan COVID-19 atau sedang menjalani kuarantin.

"UniSZA sangat mengambil berat dan bertanggungjawab memastikan semua kakitangan sentiasa berwaspada dengan berada di rumah dan tidak keluar jika tiada keperluan, selain mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta mengamalkan norma baharu yang digariskan Kementerian Kesihatan.

"Sebagai langkah kawalan, Pengurusan UniSZA memutuskan supaya semua kakitangan untuk bekerja dari rumah hingga 8 Oktober ini dan aktiviti disinfeksi dilaksanakan secara menyeluruh di ketiga-tiga kampus," katanya.

Gambar fail kerja nyahkuman di kolej kediaman mahasiswa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak yang dijalankan sebelum ini. Penutupan UniSZA dilanjutkan sehingga Khamis ini. - Foto BERNAMA
Gambar fail kerja nyahkuman di kolej kediaman mahasiswa, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Gong Badak yang dijalankan sebelum ini. Penutupan UniSZA dilanjutkan sehingga Khamis ini. - Foto BERNAMA

Kenyataan itu berkata, UniSZA berharap masyarakat setempat tidak membuat sebarang persepsi negatif dan andaian tidak berfakta terhadap warga UniSZA, sekali gus memohon orang ramai berdoa supaya keadaan terkawal dan kembali seperti biasa.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Berita Harian X