Selasa, 6 Oktober 2020 | 6:11pm

COVID-19: 2 kluster baharu dikesan

PUTRAJAYA: Dua lagi kluster baharu kes COVID-19 dikesan hari ini iaitu di Perak dan Sabah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata di Perak, Kluster Batu dikesan di Taiping yang kini sudah menjangkiti tujuh individu.

Kluster ini, katanya dikenal pasti hasil saringan dalam kalangan kakitangan dan ahli keluarga sebuah kem tahanan dengan tujuh individu dikesan positif COVID-19, semalam.

"Mereka kini dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun di Perak dan sehingga jam 12 tengah hari ini, seramai 860 individu disaring dengan 182 dikesan negatif dan 671 individu masih menunggu keputusan.

"Punca jangkitan kini masih dalam siasatan," katanya dalam sidang media COVID-19, di sini, hari ini.

Bagi Kluster Ramai-Ramai di Sandakan, Sabah pula, Dr Noor Hisham berkata, kes indeks bagi kluster berkenaan iaitu kes ke-12,161 yang membabitkan seorang pemandu bas.

"Kes dikesan mengalami gejala iaitu sakit tekak dan demam sejak 27 September lalu dan dikesan positif COVID-19 pada 3 Oktober lalu. Kes kemudiannya dimasukkan ke Hospital Dutchess of Kent di Sandakan untuk rawatan.

"Susulan itu, saringan kontak rapat dijalankan dan mendapati 19 lagi individu positif COVID-19. Semua kes positif membabitkan warganegara Malaysia. Mereka turut dimasukkan ke hospital sama dengan kes indeks untuk rawatan lanjut.

"Sehingga jam 12 tengah hari ini seramai 166 individu disaring dalam kluster berkenaan dan 20 kes dikesan positif, manakala 146 individu masih menunggu keputusan. Punca jangkitan masih dalam siasatan," katanya.

Dr Noor Hisham memaklumkan, selain dua kluster baharu itu, terdapat tujuh lagi kluster masih aktif dikesan mempunyai pertambahan kes positif COVID-19.

"Kluster Tembok mempunyai 394 kes baharu, diikuti Kluster Bangau-Bangau (30 kes baharu), Kluster Jalan Meru (15), Kluster Bah Sintok (3), Kluster Benteng PK (2) serta masing-masing satu membabitkan Kluster Selasih dan Kluster Embun," katanya.

  • Lagi berita mengenai COVID-19

  • Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. - Foto BERNAMA
    Berita Harian X